23/07/2026
🌸 WANITA & KESIHATAN | MENOPAUS BUKAN MUSUH 🌸
Satu program Wanita & Kesihatan telah berlangsung di Surau Al-Salikin dengan tajuk ceramah “Menopaus Bukan Musuh” yang disampaikan oleh Dr Fatimah Zaharah Rosli, Pakar Perubatan Dalaman dari Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
Satu perkongsian ilmu yang memberi kesedaran bahawa menopaus merupakan fasa semula jadi dalam kehidupan wanita, bukannya satu penyakit.
Walaupun setiap wanita melalui pengalaman yang berbeza, ada yang mengalami simptom seperti hot flushes, gangguan tidur, perubahan emosi, keletihan, sakit sendi dan penurunan kepadatan tulang yang boleh memberi kesan kepada kualiti hidup. Dengan ilmu yang betul, sokongan keluarga dan komuniti serta gaya hidup yang sihat, fasa ini dapat dilalui dengan lebih yakin dan positif.
Tahukah anda?
❣️Menopaus berlaku apabila seorang wanita tidak mengalami haid selama 12 bulan berturut-turut.
❣️Purata usia menopaus adalah sekitar 45–55 tahun.
❣️Penurunan hormon estrogen meningkatkan risiko osteoporosis dan penyakit jantung, justeru pemeriksaan kesihatan berkala amat digalakkan.
❣️Pemakanan seimbang, senaman berkala, tidur yang mencukupi dan pengurusan stres dapat membantu mengurangkan simptom menopaus.
Sebagai wanita Muslim, setiap fasa kehidupan hadir dengan hikmah tersendiri. Menopaus bukanlah pengakhiran kepada peranan seorang wanita, sebaliknya membuka ruang untuk terus menyumbang kepada keluarga dan masyarakat dengan pengalaman, kebijaksanaan dan kematangan yang dimiliki.
Semoga perkongsian ini dapat meningkatkan kesedaran bahawa menopaus bukan sesuatu yang perlu ditakuti atau dipendam, sebaliknya difahami, diurus dengan baik dan dibincangkan secara terbuka agar setiap wanita mendapat sokongan yang sewajarnya.
Menopaus bukan musuh. Ilmu adalah kekuatan, dan sokongan adalah penawar. 💜