02/10/2026
100 murid SMK Pulai Jaya sertai program From Antarctic to Classroom
KULAI, 23 September – Seramai 100 orang murid Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulai Jaya telah menyertai program ‘From Antarctic to Classroom’, sebuah inisiatif pendidikan alam sekitar yang direka khusus bagi memupuk kesedaran mengenai isu perubahan iklim global dan kepentingan pemeliharaan bumi dalam kalangan generasi muda.
Program berimpak tinggi ini dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama strategik SMK Pulai Jaya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, SWM Environment Sdn. Bhd. serta Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). Inisiatif luar biasa ini merupakan salah satu pengisian utama yang dirangka khas sempena sambutan Hari Antartika 2026.
Pengarah Program, Dr. Norhidayah Md. Yunus berkata, penganjuran program ini bertujuan memberikan pendedahan secara terus kepada para pelajar mengenai isu-isu kritikal berkaitan perubahan iklim, penjagaan alam sekitar dan tanggungjawab bersama dalam melestarikan planet ini.
Menurut beliau, pemahaman mengenai kawasan kutub seperti Antartika amat penting kerana ia mempunyai perkaitan langsung dengan kehidupan harian manusia seluruh dunia.
“Ramai yang tidak mengetahui bahawa Antartika memainkan peranan yang sangat penting dalam mengawal atur iklim dunia.
“Sebarang perubahan yang berlaku di kawasan kutub tersebut boleh memberi kesan rantaian yang signifikan kepada suhu lautan, peningkatan aras laut, serta keseimbangan keseluruhan sistem bumi,” jelas beliau ketika ditemui selepas pelancaran program.
Program ini telah disempurnakan pelancarannya oleh Dekan Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Prof. Sr. Dr. Kherun Nita Ali.
Bagi memastikan maklumat ilmiah yang disampaikan dapat diserap dengan mudah dan berkesan, pelbagai aktiviti menarik telah dirangka. Antara tarikan utama program adalah aktiviti ‘Explorace’ yang menjadikan proses pembelajaran lebih santai, interaktif dan menyeronokkan.
Menerusi aktiviti ini, para peserta perlu menyelesaikan pelbagai tugasan berasaskan pengetahuan alam sekitar di setiap stesen yang disediakan.
Dr. Norhidayah menegaskan bahawa pendekatan pembelajaran melalui pengalaman (experiential learning) sedemikian mampu memberikan impak yang lebih mendalam kepada minda murid berbanding kaedah pembelajaran teori semata-mata.
“Melalui aktiviti seperti ini, pelajar bukan sahaja mendengar dan menerima maklumat, tetapi mereka juga turut belajar melalui pengalaman, perbincangan, kerjasama pasukan dan penyelesaian tugasan secara praktikal.
“Saya percaya pendekatan seperti ini sangat baik kerana pembelajaran yang berkesan bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, tetapi juga melalui pengalaman yang memberi ruang kepada pelajar untuk berfikir, meneroka dan bertanya,” tambah beliau.
Beliau turut berharap agar program ini dapat menjadi pemangkin kepada pendedahan sains yang lebih meluas dalam kalangan pelajar sekolah, sekali gus menyemai minat mereka untuk menjadi pelindung alam sekitar pada masa hadapan.
“Gunakanlah pengalaman pada hari ini dengan sebaiknya. Tingkatkan rasa ingin tahu yang lebih besar, kesedaran yang lebih tinggi dan paling penting, bulatkan tekad bahawa kita semua mempunyai peranan penting dalam menjaga bumi.
“Mungkin pada hari ini mereka cuma seorang murid sekolah, tetapi pada masa akan datang, ada di kalangan mereka yang bakal menjadi saintis, jurutera, penyelidik, perancang bandar, pendidik mahupun pakar alam sekitar yang membantu mencari penyelesaian kepada cabaran perubahan iklim dunia,” ujarnya lagi.
Program tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah bagi pemenang aktiviti ‘Explorace’ serta sesi fotografi kenangan antara pihak pengurusan UTM, rakan kerjasama dan para peserta SMK Pulai Jaya.
Turut hadir adalah Timbalan Dekan Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan FABU, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Nadzri Md. Reba, Penolong Kanan SMK Pulai Jaya, Nor Hidayati Abdullah, Jurulatih Pakar Penambahbaikan Sekolah (SISC+) Sains dan Matematik, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Kulai, Hazura Yusof dan Penolong Pengurus, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Kerajaan, SWM Environment Sdn. Bhd, Livingwater A/P Ponnusamy.
Program ‘From Antarctic to Classroom’ menyokong secara langsung beberapa Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals - SDG) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antaranya adalah SDG 13: Tindakan Terhadap Iklim (Climate Action), SDG 4: Pendidikan Berkualiti (Quality Education), SDG 17: Kerjasama Demi Matlamat (Partnerships for the Goals), SDG 14: Kehidupan Di Dalam Air (Life Below Water) dan SDG 15: Kehidupan Di Darat (Life on Land).