03/11/2025
Program Inovasi STEM Dari Kolej Rahman Putra Meriahkan Pendidikan Khas SMK Kelapa Sawit
KULAI, 28 Oktober 2025 - Program Bengkel Perpindahan Ilmu STEM Pelestarian Landskap Menerusi Teknologi Simenfero Menggunakan Bahan Buangan Terpakai berjaya dilaksanakan dengan baik di SMK Kelapa Sawit oleh Kelab Riverdale Kolej Rahman Putra (KRP). Usaha ini adalah sebagai simbol kerjasama erat antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) sekolah berkenaan. Program yang ditaja oleh Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM ini telah bermula pada 25 Oktober di KRP UTM, sebagai aktiviti pemanas badan oleh mahasiswa KRP di mana mahasiswa selaku urusetia membuat persiapan produk separa siap untuk digunakan pada hari kedua program. Pada 28 Oktober, mahasiswa telah bergerak seawal jam 6.45 pagi dari UTM menuju ke SMK Kelapa Sawit bagi memastikan kelancaran program. Aktiviti di SMK Kelapa Sawit ini telah menyaksikan penglibatan aktif 26 orang murid PPKI, manakala penglibatan dari kalangan mahasiswa KRP adalah seramai 18 orang urusetia.
Menurut Pengarah Program, Ammar Raziq Shahrizal, program ini berhasrat membudayakan pendidikan STEM dalam kalangan murid berkeperluan khas melalui pendekatan hands-on yang kreatif dan selamat. "Kami ingin merapatkan jurang antara teori akademik dengan aplikasi praktikal, sekaligus memupuk kesedaran alam sekitar dalam kalangan generasi muda," katanya ketika ditemui. Barisan fasilitator program diketuai Ts. Mohd Hazri Ishak dengan dibantu lima fasilitator lain yang berpengalaman iaitu En. Mohd Haidi Samsuri, En. Zamree Rahmat, En. Mohd Kamarul Ashraf Rahmat, En. Mohamad Firdaus Zainaluddin dan En. Nurizzham Jamil.
Program dimulakan dengan taklimat keselamatan menyeluruh, dan diikuti dengan demonstrasi bancuhan pasir. Seterusnya adalah demo pembuatan produk simenfero yang menggabungkan elemen bahan buangan iaitu habuk kayu kasar. Aktiviti praktikal ini bukan sahaja mengajar kemahiran teknikal tetapi juga menitikberatkan aspek pengurusan bahan buangan dan kesedaran terhadap kelestarian alam. Hasilnya, dua set meja landskap simenfero dan lapan set cendawan mini hiasan landskap berjaya dihasilkan dan ditinggalkan di laman PPKI sekolah sebagai produk dan kemudahan kekal untuk kegunaan harian murid-murid.
Kejayaan program ini disaksikan oleh tetamu kehormat termasuk Puan Siti Aini Hamzah (Guru Penolong Kanan Pentadbiran), Y.M Ungku Natassa Ungku Mohamad Najib (Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas) dan En. Mohamad Fazrul Rizman Bahsri (Guru PPKI merangkap penyelaras program). Turut hadir sewaktu sesi penutup juga adalah En Muhammad Hanafi Md Sah selaku pegawai pemantau dari CCIN UTM. Menurut Puan Siti Aini, program seumpama ini memberi nilai tambah besar kepada perkembangan murid PPKI. "Kami terharu menyaksikan semangat kerjasama antara mahasiswa UTM dengan murid-murid kami. Produk yang dihasilkan bukan sahaja bermutu tinggi tetapi mempunyai nilai sentimental yang mendalam," ujarnya.
Program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif sama di masa hadapan, sekaligus memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti setempat. "Impian kami adalah melihat setiap murid berkeperluan khas mendapat peluang sama rata untuk mengecapi pendidikan STEM yang berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa," tambah Ammar Raziq. Kejayaan program ini membuktikan bahawa dengan pendekatan tepat, pendidikan inklusif mampu melahirkan generasi celik teknologi dan peka alam sekitar.