17/09/2026
KERETAPI SARONG X PENTAS SENI JOHOR: MERAIKAN MALAYSIA DALAM WARNA-WARNI BUDAYA 🇲🇾
Lebih 7,000 pengunjung menyertai Keretapi Sarong Johor Bahru X Pentas Seni Johor di OKM Johor Bahru pada 16 September 2026 sempena sambutan Hari Malaysia.
Kemeriahan bermula menerusi gerabak khas dari KTM Kulai dan Kempas Baru menuju ke JB Sentral, dengan persembahan busker, tarian budaya dan nyanyi bersama sepanjang perjalanan, diserikan dengan peserta yang mengenakan pakaian tradisional.
Di lokasi acara, Pentas Seni Johor yang dibawakan oleh Yayasan JCorp mengetengahkan kepelbagaian seni dan budaya menerusi persembahan zapin, tarian tradisional Cina dan India, bengkel kreatif serta permainan tradisional. Platform ini turut memberi ruang kepada 140 artis dan penggiat seni tempatan, manakala 25 vendor Projek WARO berpeluang memperkenalkan produk dan menjana pendapatan.
Hadir sama memeriahkan acara adalah Encik P. Pannir Selvam, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor; Encik Mohammad Nazrul Abdul Rahim, Pengarah Tourism Johor; serta YB Dato’ Mizan Yahya, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan JCorp.
Tahun 2026 adalah kali ketiga, Pentas Seni Johor Yayasan JCorp mengambil bahagian dalam Keretapi Sarong, menyediakan ruang untuk mengetengahkan seni, budaya dan warisan, selain menghubungkan bakat serta komuniti kreatif tempatan dengan masyarakat.
Dari kereta api ke pentas, pelbagai budaya bersatu dalam satu perjalanan, meraikan Malaysia. 🇲🇾