Wanita ISMA Kubang PASU

Call Directions Contact the organization

Wanita ISMA Kubang PASU Wanita Isma Kubang Pasu membawakan program-program untuk membina jati diri islami kepada para wanita.

KENYATAAN TAKZIAHWANITA IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (WANITA ISMA)PERGINYA SEORANG TOKOH WANITA NEGARAWanita Ikatan Muslimin...
29/09/2026

KENYATAAN TAKZIAH
WANITA IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (WANITA ISMA)

PERGINYA SEORANG TOKOH WANITA NEGARA

Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita ISMA) merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya atas pemergian Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, seorang tokoh wanita yang telah memberikan sumbangan besar kepada negara dan masyarakat.

Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat Malaysia. Sepanjang hayatnya, Tun Dr. Siti Hasmah telah menabur bakti dalam bidang perubatan, kebajikan masyarakat serta pembangunan wanita dan keluarga. Ketokohan, kesederhanaan, keprihatinan dan dedikasi beliau menjadi sebahagian daripada sejarah perjalanan negara yang akan terus dikenang.

Wanita ISMA khususnya ingin merakamkan setinggi-tinggi takziah kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, serta seluruh ahli keluarga atas kehilangan insan yang amat dikasihi. Semoga Tun Dr. Mahathir dan seisi keluarga dikurniakan kekuatan, kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian serta saat dukacita ini.

Sesungguhnya segala jasa dan bakti Tun Dr. Siti Hasmah kepada masyarakat dan negara merupakan warisan yang akan terus dikenang oleh generasi mendatang.

Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa dan kesilapan beliau, menerima segala amal soleh dan kebajikan, melimpahkan rahmat serta kasih sayang-Nya, dan menempatkan beliau dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan di Jannatul Firdaus.

Amin Ya Rabb.

Shazamawati Zam Hashari
Ketua Wanita
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

07/08/2026

PERSPEKTIF ISLAM DAN CABARAN WANITA MENGHADAPI KRISIS GENERASI SANDWICH

Dalam masyarakat moden hari ini, ramai wanita memikul pelbagai peranan secara serentak. Mereka bukan sahaja isteri dan ibu, malah turut menjadi anak yang menjaga dan menyara ibu bapa yang semakin uzur, pekerja profesional, pendidik kepada anak-anak serta individu yang aktif dalam masyarakat. Fenomena ini dikenali sebagai generasi sandwich, iaitu golongan dewasa yang terpaksa menyokong dua generasi dalam satu masa—anak-anak yang masih bergantung kepada mereka dan ibu bapa yang semakin lanjut usia. Istilah ini diperkenalkan oleh Dorothy A. Miller pada tahun 1981 menerusi artikelnya The "Sandwich" Generation: Adult Children of the Aging.

Hakikatnya, generasi sandwich merupakan satu analogi sosial yang menggambarkan individu yang "tersepit" antara dua lapis kebergantungan. Di satu sisi, mereka bertanggungjawab membesarkan dan mendidik anak-anak, manakala satu sudut yang lain perlu menjaga ibu bapa yang semakin uzur serta memerlukan perhatian dan sokongan. Kajian oleh Social Wellbeing Research Centre Malaysia pada tahun 2023 mendapati sekitar 55 peratus warga emas bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak-anak mereka, dengan purata sumbangan sebanyak RM526 sebulan. Keadaan ini menyebabkan ramai wanita mengalami keletihan fizikal dan emosi, hilang keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan (work-life balance), malah tidak sedikit yang berdepan masalah kesihatan mental seperti kebimbangan (anxiety), kemurungan (depression) dan keletihan melampau (burnout).

Dalam konteks inilah falsafah lama yang berbunyi "It takes a village to raise a child" kembali relevan. Dalam Islam, konsep ini bukanlah sesuatu yang asing. Malah, telah dipraktikkan sejak zaman Rasulullah SAW melalui budaya hidup berjemaah, saling membantu dan memikul amanah secara kolektif.

Hari ini, ramai wanita merasakan mereka perlu menjadi "supermom"—memasak, mendidik anak, bekerja, mengurus rumah tangga, menjaga ibu bapa, bahkan pada masa yang sama sentiasa kelihatan sempurna. Hakikatnya, Islam tidak pernah menuntut seorang wanita memikul seluruh beban kehidupan seorang diri. Sebaliknya, Islam membina sebuah masyarakat yang saling melengkapi, saling membantu dan berkongsi tanggungjawab.

Allah SWT berfirman:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam mengerjakan kebajikan dan ketakwaan..."

(Surah al-Ma'idah 5 : 2)

Rasulullah SAW p**a bersabda:

"Perumpamaan orang-orang mukmin dalam kasih sayang, saling mengasihi dan saling menyantuni adalah seperti satu tubuh; apabila satu anggota sakit, seluruh tubuh turut merasai demam dan tidak dapat tidur."

(Riwayat Muslim)

Dalil-dalil ini bukan sekadar menyeru umat Islam membantu ketika berlakunya musibah, bahkan membentuk budaya saling menyokong dalam seluruh aspek kehidupan termasuk membesarkan anak-anak. Seorang anak tidak dibentuk oleh ibu bapanya semata-mata. Mereka turut dibentuk oleh datuk dan nenek, guru, jiran, saudara-mara, masjid serta masyarakat yang baik.

Sirah Rasulullah SAW membuktikan bahawa Baginda membangunkan sebuah masyarakat yang menjadikan saling membantu sebagai budaya hidup. Sebelum hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW berjaya menyatukan kaum Aus dan Khazraj. Setelah berhijrah p**a, Baginda mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Ketika kaum Muhajirin meninggalkan hampir seluruh harta benda mereka di Makkah, golongan Ansar bukan sahaja membuka pintu rumah, malah berkongsi makanan, tempat tinggal dan membantu memenuhi keperluan keluarga mereka. Inilah contoh terbaik sebuah masyarakat yang memikul tanggungjawab secara bersama.

Islam juga memberikan penekanan yang besar terhadap hak jiran. Rasulullah SAW bersabda bahawa tidak sempurna iman seseorang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan. Walaupun hadis ini berkaitan makanan, para ulama menjelaskan bahawa semangatnya merangkumi keprihatinan terhadap seluruh keperluan jiran, termasuk membantu keluarga yang mempunyai anak kecil, warga emas atau ahli keluarga yang memerlukan penjagaan.

Selain itu, amalan ibu susuan (raḍā‘ah) turut diiktiraf dalam Islam. Penyusuan oleh wanita lain bukan sahaja memenuhi keperluan bayi, malah mewujudkan hubungan kekeluargaan yang diiktiraf syarak. Rasulullah SAW sendiri pernah disusui oleh Halimah al-Sa'diyah ketika kecil. Hal ini membuktikan bahawa penjagaan dan pembesaran seorang anak merupakan tanggungjawab sosial yang boleh dikongsi oleh masyarakat.

Pada zaman Rasulullah SAW, masjid juga berfungsi sebagai pusat pembangunan komuniti. Selain menjadi tempat ibadah, masjid menjadi pusat pendidikan, tempat masyarakat berkumpul, menyelesaikan masalah dan mengagihkan bantuan kepada golongan yang memerlukan. Kanak-kanak turut diraikan di masjid. Rasulullah SAW pernah mendukung cucunya ketika menunaikan solat dan memanjangkan sujud apabila cucunya memanjat belakang Baginda. Peristiwa ini menunjukkan bahawa kanak-kanak diterima sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat, bukannya dianggap sebagai gangguan.

Islam juga memberikan perhatian besar terhadap kebajikan anak-anak yatim. Rasulullah SAW bersabda:

"Aku dan orang yang memelihara anak yatim di syurga seperti ini." Baginda kemudian merapatkan jari telunjuk dan jari tengah.

(Riwayat al-Bukhari)

Semua contoh ini menggambarkan bahawa Islam membina sebuah masyarakat yang berkongsi tanggungjawab menjaga golongan yang memerlukan, bukan menyerahkan segala beban kepada individu tertentu.

Suatu ketika dahulu, masyarakat kita kaya dengan budaya gotong-royong dan saling mengambil berat antara ahli keluarga, jiran dan komuniti. Namun, perubahan gaya hidup moden menjadikan masyarakat semakin individualistik. Akibat tekanan ekonomi, ramai wanita bekerja untuk membantu keluarga. Pada waktu pagi mereka menghantar anak ke sekolah, siang hari memenuhi tuntutan kerjaya, petang membawa anak ke terapi atau kelas tambahan, malam p**a mengurus ibu bapa yang uzur. Belum lagi mengambil kira urusan rumah tangga, kewangan keluarga, emosi pasangan dan tanggungjawab dalam masyarakat.

Akhirnya, ramai wanita menjalani kehidupan dalam keadaan survival mode. Hari-hari mereka dipenuhi rutin memenuhi keperluan orang lain sehingga tidak lagi mempunyai ruang untuk berehat, menjaga kesihatan diri atau meluangkan masa berkualiti bersama keluarga. Ramai yang berasa bersalah kerana tidak dapat memberikan perhatian sepenuhnya kepada anak-anak, berasa berdosa kerana tidak mampu menjaga ibu bapa seperti yang diharapkan, dan berasa gagal apabila prestasi kerja menurun. Hakikatnya mereka sedang memikul amanah yang terlalu besar.

Penyelesaian kepada krisis ini bukanlah dengan menambah lagi beban kepada wanita, tetapi mengembalikan institusi keluarga kepada fungsi asalnya menurut Islam. Pendidikan anak-anak, penjagaan ibu bapa dan pengurusan rumah tangga merupakan amanah yang perlu dipikul secara bersama oleh suami, isteri serta ahli keluarga yang lain mengikut kemampuan masing-masing. Suami bukan sekadar pencari nafkah, bahkan rakan kongsi yang sama-sama memimpin, mendidik dan mengurus keluarga.

Pada masa yang sama, kerajaan dan majikan juga boleh memainkan peranan melalui dasar yang lebih mesra keluarga seperti waktu kerja anjal, pilihan bekerja dari rumah, cuti penjagaan keluarga serta penyediaan pusat jagaan kanak-kanak yang berkualiti dan mampu milik. Negara-negara Skandinavia dan beberapa negara Eropah Barat telah menunjukkan bahawa dasar sedemikian mampu meningkatkan kesejahteraan keluarga tanpa menjejaskan produktiviti negara.

Bagi warga emas p**a, bantuan kewangan yang lebih mampan, pusat aktiviti komuniti serta perkhidmatan penjagaan di rumah yang berkualiti dan berpatutan perlu diperluaskan bagi mengurangkan beban yang dipikul oleh ahli keluarga, khususnya wanita.

Masyarakat dan kejiranan juga perlu menghidupkan semula budaya saling mengambil berat. Bertanya khabar, menawarkan bantuan menjaga anak-anak, membantu menghantar ibu bapa ke hospital atau sekadar menjadi tempat berkongsi rasa mampu memberi impak yang besar kepada kesejahteraan sesebuah keluarga.

Dalam masa yang sama, wanita juga perlu diperkasakan dengan kemahiran pengurusan emosi, komunikasi berkesan, pengurusan kewangan, delegasi tugas serta keberanian mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan. Mencari pertolongan bukanlah tanda kelemahan, bahkan merupakan sebahagian daripada ikhtiar yang dianjurkan oleh Islam.

Ungkapan "It takes a village to raise a child" sebenarnya amat bertepatan dengan roh Islam yang menjunjung nilai ukhuwah, ta'awun dan tanggungjawab bersama. Dalam menghadapi cabaran generasi sandwich, wanita tidak memerlukan gelaran superwoman. Mereka memerlukan pasangan yang saling melengkapi, keluarga yang memahami, masyarakat yang prihatin serta dasar negara yang menyokong institusi kekeluargaan. Kekuatan sesebuah keluarga bukan terletak pada kemampuan seorang ibu melakukan segala-galanya, tetapi pada kesediaan seluruh masyarakat memikul amanah secara bersama. Apabila keluarga diperkukuh, masyarakat akan menjadi lebih sejahtera, dan apabila masyarakat sejahtera, lahirlah generasi yang beriman, berakhlak mulia dan berdaya tahan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, kesabaran dan ganjaran terbaik kepada setiap wanita yang sedang berjuang mendidik anak-anak, berbakti kepada ibu bapa, mengurus keluarga serta menyumbang kepada masyarakat. Semoga setiap pengorbanan mereka menjadi amal soleh yang berpanjangan dan diberkati oleh-Nya. Amin.

Dr. Noor Tahira Abdul Karim
Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Alor Setar

DAULAT TUANKUMerafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku S...
05/07/2026

DAULAT TUANKU

Merafak sembah setinggi-tinggi ucapan tahniah sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.

Semoga Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, umur yang berkat serta terus memayungi negeri dengan penuh kebijaksanaan.

Sembah Takzim daripada
Wanita ISMA & Kelab Serikandi Iffah
Cawangan Kubang Pasu

SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1448H: MEMULAKAN HIJRAH BERSAMA KOMUNITI17 Jun 2026 | Taman Delima Fasa 1Alhamdulillah, program S...
18/06/2026

SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1448H: MEMULAKAN HIJRAH BERSAMA KOMUNITI

17 Jun 2026 | Taman Delima Fasa 1

Alhamdulillah, program Sambutan Awal Muharram 1448H anjuran Wanita ISMA Kubang Pasu dan Kelab Serikandi IFFAH telah berlangsung dengan penuh penghayatan dan semangat ukhuwah di Taman Delima.

Program dimulakan dengan alunan bacaan Surah At-Taubah ayat 38-40 yang mengingatkan umat Islam agar tidak terlalu cenderung kepada kesenangan dunia sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap agama dan kehidupan akhirat. Ayat-ayat tersebut menjadi asas kepada tazkirah ringkas bertajuk "Ibrah Hijrah" yang mengupas makna hijrah sebagai proses perubahan diri menuju keredaan Allah SWT.

Melalui pengisian tersebut, kita diajak untuk memahami bahawa semangat hijrah bukan sekadar memperingati perpindahan Rasulullah SAW, bahkan menuntut setiap Muslim melakukan perubahan ke arah yang lebih baik. Antara perkara yang ditekankan ialah kepentingan menjaga iman, memperbaiki ibadah, membentuk akhlak yang mulia serta memelihara hubungan sesama manusia. Sempena kedatangan tahun baharu Islam, kita turut diingatkan agar sentiasa bermuhasabah, menghargai masa yang dikurniakan Allah SWT dan memperbaharui niat dalam setiap amal yang dilakukan.

Program kemudiannya diteruskan dengan aktiviti gotong-royong kacau bubur Asyura yang melibatkan kerjasama ahli jawatankuasa ISMA dan penduduk setempat. Suasana yang harmoni dan penuh semangat kebersamaan jelas memperlihatkan nilai ukhuwah yang menjadi teras kepada kehidupan bermasyarakat. Bubur Asyura yang siap dimasak seterusnya diagihkan kepada penduduk sekitar sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepada komuniti setempat.

Lebih bermakna, program ini merupakan program pembuka kepada siri projek komuniti yang bakal dilaksanakan di Taman Delima. Antara inisiatif yang sedang dirancang termasuklah pengisian berbentuk pendidikan dan pembangunan insan bagi memperkukuhkan hubungan masyarakat serta menyemarakkan budaya ilmu dalam komuniti.

Seiring dengan hasrat tersebut, rumah yang menjadi lokasi program ini juga akan dijadikan sebagai pusat aktiviti komuniti melalui penganjuran halaqah Al-Quran untuk remaja, muslimin dan muslimat secara berkala. Diharapkan usaha ini dapat menjadi medan pembelajaran, pembinaan sahsiah dan pengukuhan ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang tenaga, masa dan sokongan dalam menjayakan program ini. Semoga kedatangan tahun 1448H menjadi titik permulaan kepada hijrah yang lebih baik buat diri, keluarga dan masyarakat seluruhnya.

"Awal Muharram bukan sekadar pertukaran tahun, tetapi peluang untuk memperbaharui hati, niat dan amal menuju keredaan Allah SWT."

🌙 JOM SERTAI SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1448H 🌙Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.Sempena kedatangan Tahun Baharu Is...
15/06/2026

🌙 JOM SERTAI SAMBUTAN AWAL MUHARRAM 1448H 🌙

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Sempena kedatangan Tahun Baharu Islam 1448H, Wanita ISMA Kubang Pasu menjemput semua ahli, keluarga dan masyarakat setempat untuk bersama-sama memeriahkan program:

🕌 Sambutan Awal Muharram 1448H

🎙️ Tazkirah Ringkas Muharram
🥣 Gotong-Royong Kacau Bubur Asyura
🎁 Agihan Bubur Asyura

📅 Tarikh: 17 Jun 2026
🕗 Masa: 8.00 pagi – 12.30 tengahari
📍 Tempat: No 43,Taman Delima Fasa 1 ,Jitra,Kedah
Sila isi untuk pendaftaran : https://forms.gle/K388aoHc3AU9ywdA9

Sumbangan dialu-alukan...

Marilah kita menghayati semangat hijrah, mengeratkan ukhuwah dan menyemai budaya gotong-royong dalam suasana penuh keberkatan.

"Hijrah Jiwa, Membina Ummah Sejahtera"

📞 Sebarang pertanyaan:
(Puan Shuhada 0189620605)

Anjuran:
Wanita ISMA Kubang Pasu

17/03/2026

MADRASAH RAMADAN SEORANG IBU

Apabila memasuki 10 malam terakhir Ramadan, hati setiap Muslim pasti terasa berbeza. Inilah malam-malam yang paling istimewa dalam setahun. Pada saat inilah umat Islam berlumba-lumba memperbanyakkan ibadah kerana di dalamnya terdapat satu malam yang sangat agung iaitu lailatulqadar. Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang sangat besar bagi mereka yang berusaha mencarinya dengan penuh keimanan.

Namun bagi seorang ibu, khususnya yang mempunyai anak kecil, malam-malam terakhir Ramadan tidak selalu berjalan seperti yang dirancang. Ketika orang lain dapat menumpukan masa untuk qiamullail, iktikaf atau membaca al-Quran dengan tenang, seorang ibu mungkin sedang menidurkan anak, menyus**an bayi atau menguruskan kerja rumah yang masih belum selesai. Dalam keadaan itu, kadang-kadang timbul rasa bersalah kerana ibadah yang dilakukan tidak sebanyak yang diharapkan.

Sebenarnya perasaan itu sangat biasa. Ramai ibu melalui pengalaman yang sama. Namun penting untuk diingat bahawa Allah SWT tidak menilai ibadah seseorang hanya pada panjangnya masa yang dihabiskan, tetapi juga pada keikhlasan hati dan usaha yang dilakukan dalam keadaan yang ada. Mengurus anak-anak juga merupakan amanah yang besar. Apabila dilakukan dengan niat kerana Allah SWT, itu juga menjadi sebahagian daripada ibadah.

Oleh itu, menghidupkan 10 malam terakhir Ramadan bagi seorang ibu tidak semestinya perlu dilakukan dengan cara yang sama seperti orang lain. Apa yang lebih penting ialah bagaimana ibu menyesuaikan ibadah dengan realiti kehidupan harian. Dengan pendekatan yang lebih tenang dan realistik, malam-malam terakhir Ramadan masih boleh diisi dengan pelbagai amalan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Salah satu cara yang boleh membantu adalah merancang malam secara sederhana. Ibu tidak perlu menetapkan sasaran ibadah yang terlalu tinggi sehingga akhirnya merasa letih atau tertekan. Sebaliknya, pilih beberapa amalan yang mampu dilakukan secara konsisten. Contohnya, selepas anak-anak tidur, ibu boleh mengambil sedikit masa untuk solat malam atau membaca beberapa ayat Al-Quran. Walaupun tidak lama, masa yang singkat itu tetap sangat bernilai kerana ia dilakukan dalam malam-malam yang penuh keberkatan.

Selain itu, ibu juga boleh memanfaatkan waktu ketika anak berada dalam keadaan tenang. Setiap anak biasanya mempunyai waktu tertentu di mana mereka lebih mudah tidur atau bermain sendiri. Waktu-waktu seperti ini boleh digunakan untuk berzikir, membaca al-Quran atau berdoa. Walaupun hanya beberapa minit, detik-detik itu tetap menjadi ruang yang sangat bermakna untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Dalam masa yang sama, aktiviti harian di rumah juga boleh dijadikan sebahagian daripada ibadah. Kerja-kerja seperti memasak, mengemas dapur, melipat pakaian atau menyediakan makanan boleh dilakukan sambil berzikir, beristighfar atau berselawat. Dengan cara ini, hati tetap terhubung dengan Allah SWT walaupun tangan sedang sibuk bekerja. Anak-anak juga boleh diajak membantu melakukan perkara kecil agar mereka turut merasai suasana Ramadan di rumah.

Suasana rumah juga memainkan peranan yang besar dalam menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan. Rumah yang tenang dan dipenuhi dengan perkara-perkara yang mengingatkan kepada Allah mampu memberi kesan yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga. Salah satu cara yang mudah adalah dengan memasang bacaan al-Quran, zikir atau ceramah pendek tentang Ramadan di rumah. Ayat-ayat al-Quran yang sentiasa berkumandang akan menjadikan rumah terasa lebih hidup dan damai. Anak-anak mungkin sedang bermain atau melakukan aktiviti mereka sendiri, tetapi telinga mereka tetap mendengar kalam Allah. Sedikit demi sedikit, suara Al-Quran itu akan menjadi sesuatu yang biasa dalam kehidupan mereka.

Dalam kesibukan mengurus keluarga, ibu juga tidak boleh melupakan keperluan diri sendiri. Mengambil sedikit masa untuk berehat, minum air atau menarik nafas dengan tenang boleh membantu memulihkan tenaga. Ibu yang tenang akan lebih mudah mengurus anak-anak dan pada masa yang sama lebih mudah menumpukan hati dalam ibadah.

Akhirnya, ibu perlu sedar bahawa malam-malam terakhir Ramadan tidak semestinya sempurna seperti yang kita bayangkan. Ada kalanya ibadah terhenti kerana anak menangis atau masa membaca Al-Quran menjadi singkat kerana perlu mengurus rumah. Namun, semua usaha kecil itu tetap bernilai di sisi Allah SWT.

Bagi seorang ibu, menghidupkan malam Ramadan bukan hanya tentang beribadah sendirian. Tetapi, juga tentang membina suasana rumah yang dekat dengan Allah SWT serta membesarkan anak-anak dalam lingkungan yang dipenuhi doa, zikir dan kasih sayang.

Mungkin suatu hari nanti, apabila anak-anak sudah dewasa, mereka tidak akan mengingati berapa lama ibu mereka solat pada malam Ramadan. Namun mereka akan mengingati sesuatu yang lebih bermakna. Mereka akan mengingati suasana rumah yang tenang, suara al-Quran yang sentiasa kedengaran dan seorang ibu yang berusaha menjadikan Ramadan sebagai waktu yang penuh keberkatan.

Daripada kenangan-kenangan kecil itulah akhirnya tumbuh dalam hati anak-anak rasa cinta kepada Ramadan sepanjang hidup mereka.

Nur Suhaila binti Ahmad Sanusi
Aktivis ISMA Cawangan Sepang

Berakhirnya Majlis Khatam Al Quran Wanita ISMA Kubang Pasu bersama komuniti muslimah Surau As Salam, Kg Tanah Merah, Jit...
13/03/2026

Berakhirnya Majlis Khatam Al Quran Wanita ISMA Kubang Pasu bersama komuniti muslimah Surau As Salam, Kg Tanah Merah, Jitra.

Alhamdulillah program tadarus Al Quran yang telah dijalankan pada tahun ke dua bersama komuniti ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan harapan dari Tuan Imam agar ISMA meneruskan kolaborasi program bersama komuniti ini.

Sedang berlangsung Majlis Khatam Al Quran Wanita ISMA Kubang Pasu bersama komuniti muslimah Surau As Salam, Kg Tanah Mer...
13/03/2026

Sedang berlangsung Majlis Khatam Al Quran Wanita ISMA Kubang Pasu bersama komuniti muslimah Surau As Salam, Kg Tanah Merah, Jitra.


🌙✨ JOM SERTAI KHATAM AL-QURAN REHAL RAMADAN 1447H ✨🌙Alhamdulillah, Ramadan telah sampai fasa terakhir…🥹🥹🥹Jangan lepaskan...
12/03/2026

🌙✨ JOM SERTAI KHATAM AL-QURAN REHAL RAMADAN 1447H ✨🌙

Alhamdulillah, Ramadan telah sampai fasa terakhir…🥹🥹🥹
Jangan lepaskan peluang untuk menghabiskan bulan mulia ini dengan khatam Al-Quran 🤲🏻

📖 Pendaftaran Program Khatam Al-Quran Rehal Ramadan 1447H kini dibuka!

Sertai kami untuk:
✅ Mengimarahkan Ramadan dengan bacaan Al-Quran.
✅ Menambah amal dan pahala berganda.
✅ Bersama komuniti dalam majlis penuh keberkatan.

⏳ Tempat terhad dan jangan lupa rebut peluang khatam bersama-sama.

📅 Tarikh : 13 MAC 2026 (JUMAAT)
⏰ Masa : 8.30 pagi - 11.30 pagi
📍 Lokasi: SURAU AL- SALAM,TANAH MERAH LUAR, JITRA.
🥼 Tema pakaian : HIJAU.

Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan terbaik buat kita semua ❤️

*TENTATIF KHATAM AL-QURAN*


8.30- 9.00: Pendaftaran
9.00- 10.00 : Bacaan bermula
10.00 - 10.30 : Ucapan aluan daripada YDP ISMA
: Ucapan daripada Pengerusi/ AJK surau As-Salam.
10.30 - 10.50 : Penyampaian cenderahati Pembimbing dan peserta.
11.00 : Sesi Bergambar dan bersurai.

❗️❗️Sebarang pertanyaan boleh hubungi :
📲 Puan Shuhada: 018-9620605


25/02/2026

1 HARI 1 DOA | 5 RAMADAN

Dari Barra' bin 'Azib bahawa para sahabat amat s**a untuk solat disebelah kanan Nabi sehingga dapat menatap wajahnya. Berkata Barra', "Aku dengan Nabi membaca doa ini." - HR Muslim (709), At Tarmizi (3396)

Dari Huzaifah bahawa Nabi apabila hendak tidur baginda akan membaca doa ini - HR Tirmizi (3395)

Mari amalkan doa ini setiap kali sebelum tidur terutamanya dalam bulan Ramadan yang barokah ini.

Address

Tingkat 2, 119 Taman Mahsuri , Pusat Bandar Barat, Bandar Darul Aman
Jitra

Telephone

+60145005434

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when Wanita ISMA Kubang PASU posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Contact The Organization

Send a message to Wanita ISMA Kubang PASU:

Shortcuts

Share