14/02/2026
14 Februari 2026 (Sabtu) β Pagi yang penuh barakah di Campsite Jenam, Ulu Jelebu, apabila Darul Hasani Jelebu dan Dr. Firdaus berbesar hati menerima kunjungan Syeikhna Yusuf Muhyiddin Reg al-Bakhour al-Hasani bersama rombongan keluarga besar Darul Hasani Malaysia.
Turut hadir rombongan ialah jemaah daripada Darul Hasani Bahau yang diketuai oleh Sidi TG Syeikh TG Ustaz Nasir Othman , Darul Hasani Shah Alam yang diketuai oleh Sidi TG Dr. Al Faqir Nik Bakri , Darul Hasani Bonggol Terengganu di bawah Sidi Ustaz Tengku Tengku Ahmad Saufie serta Darul Hasani Ampang yang dipimpin oleh Sidi Ustaz Johari. Kesemua mereka ialah 'Wakil' kepada Syeikhna Yusuf Muhyiddin Reg al-Bakhour al-Hasani, termasuklah TG Syeikh Dr Muhammad Firdaus bin TG Syeikh Haji Abdul Manaf yang memimpin Darul Hasani Jelebu dan Rumah Suluk Kg. Dulang.
Kehadiran para wakil Sheikhna (Asatizah) ini memeriahkan Majlis Santai Hari Keluarga Darul Hasani Malaysia 2026 yang menghimpunkan lebih 100 orang Ahbab dari pelbagai negara & negeri.
Majlis berlangsung dalam suasana santai, namun penuh makna dan dimulakan dengan sukaneka kanak-kanak yang mencuit tawa, diikuti Majlis Ramah Mesra Bersama Syeikhna Yusuf Muhyiddin Reg al-Bakhour al-Hasani. Hibaan dan titisan air mata beliau benar-benar menyentuh hati dan menguatkan ruhani kami. Alunan qasidah dan deklamasi syair Arab yang disampaikan oleh TG Syeikh Dr Firdaus menambahkan seri majlis, disusuli penyampaian hadiah serta cenderahati sebagai tanda kasih dan penghargaan.
Tidak ketinggalan, aktiviti barbecue, mandi manda di sungai yang jernih serta jamuan sarapan dan makan tengah hari bersama yang menghidupkan suasana kekeluargaan.
Walaupun masanya singkat, kemeriahannya terasa luar biasa, seolah waktu berlalu tanpa disedari. Semoga pertemuan ini menjadi asbab bertautnya ukhuwah, bertambahnya mahabbah dan terus berpanjangan hingga ke syurga.