28/05/2026
PROGRAM IBADAH KORBAN DAN AQIQAH MASJID DAERAH SEBERANG PERAI SELATAN 2026
27 Mei 2026 (Rabu) - Sambutan Hari Raya Aidiladha 1447H di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan telah dimulakan dengan Solat Sunat Aidiladha pada pukul 8.15 pagi yang telah diimamkan oleh Imam Utama Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Ustaz Ahmad Mamduh bin Mohd Zulkifli.
Selepas selesai solat dan khutbah Aidiladha, Program Ibadah Korban & Aqiqah 2026 telah dilaksanakan dalam suasana penuh semangat kerjasama, ukhuwah dan penghayatan ibadah.
Program ini dianjurkan bagi menyemarakkan syiar Islam serta memberi peluang kepada masyarakat untuk melaksanakan ibadah korban dan aqiqah bersempena Hari Raya Aidiladha.
Sepanjang program berlangsung, sebanyak 7 ekor lembu termasuk 1 ekor lembu sumbangan daripada YB. Parlimen Nibong Tebal dan 2 ekor kambing telah berjaya dikorbankan dengan kerjasama para peserta korban, ahli jawatankuasa masjid, sukarelawan serta penduduk setempat.
Proses penyembelihan, melapah, menimbang dan pengagihan daging korban telah dijalankan secara teratur dan lancar mengikut syariat serta prosedur yang ditetapkan. Daging korban turut diagihkan kepada peserta, golongan asnaf dan masyarakat setempat.
Pihak Masjid Daerah Seberang Perai Selatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan Program Ibadah Korban & Aqiqah 2026 ini.
Semoga segala amal kebajikan, sumbangan tenaga dan kerjasama yang diberikan mendapat ganjaran pahala serta keberkatan daripada Allah SWT.
Adalah diharapkan program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan ukhuwah, memupuk semangat gotong-royong serta memperkukuhkan hubungan silaturrahim dalam kalangan masyarakat.