15/05/2026
AZAM SIRI-3: ZINA MERAMPAS GLOW UP YANG SEBENAR
Ramai yang sanggup melabur ribuan ringgit dan menghabiskan masa meneliti setiap rutin skincare demi mendapatkan wajah yang 'glowing'. Mahu luaran nampak segar, bersih, dan bercahaya.
Namun, ada satu hakikat yang sering terlepas daripada radar perhatian kita, iaitu tentang 'glowing' yang lebih hakiki.
ANTARA CAHAYA WAJAH DAN CAHAYA JIWA
Dalam perjalanan kita mencari kecantikan, kita perlu sedar bahawa ada pencuri yang sangat halus, yang bukan sahaja merampas ketenangan, malah memadamkan terus seri daripada wajah dan jiwa seorang mukmin. Pencuri itu adalah zina.
Sahabat Nabi yang agung, Ibnu ‘Abbas R.A., pernah meriwayatkan sebuah mutiara peringatan yang sangat 'deep' untuk kita renungkan:
يُنْزَعُ مِنْهُ نُوْرُ الْإِيْمَانِ فِيْ الزِّنَا
"Dicabut nur (cahaya) keimanan dalam perbuatan zina."
-Riwayat Bukhari-
Kenapa Hati Terasa Gelap?
Kadang-kadang, kita hairan. Kerjaya nampak hebat, penampilan nampak perfect, malah di media sosial semuanya nampak indah. Tetapi di sebalik pintu yang tertutup, saat sendirian, hati rasa kosong, gelap, dan gelisah yang tidak berhujung.
Itulah kesan apabila Nur Iman ditarik keluar.Iman itu adalah cahaya. Ia yang menerangi jalan hidup kita supaya kita tidak tersadung.
Zina itu adalah kegelapan. Ia bukan sekadar dosa fizikal, tetapi ia adalah perbuatan yang mengoyakkan hijab antara hamba dengan Tuhannya.
Apabila cahaya itu ditarik, maka hilanglah 'seri' pada kehidupan. Walaupun disapu serum paling mahal di dunia, ia tidak mampu menutup mendung kegelisahan yang lahir daripada maksiat zina.
KEMBALI KEPADA FITRAH
Zina mungkin menjanjikan 'keseronokan' sementara, namun harganya sangat mahal iaitu kehilangan cahaya panduan diri.
Mari kita muhasabah kembali. Kecantikan yang sebenar bukan hanya pada apa yang terpantul di cermin, tetapi pada apa yang terpancar dari dalam hati yang tenang dan diredhai Allah.
Moga Allah pelihara diri kita, keluarga kita, dan hati kita daripada segala pintu yang membawa kepada perbuatan zina, agar cahaya iman itu kekal bersemi dalam jiwa.
Sertai Channel TELEGRAM AZAM:https://t.me/AntizinaAnakMuda
Ikuti FB, Tiktok, IG, Thread IKRAM Muda Perak.