29/07/2026
𝐏𝐮𝐥𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐢𝐝𝐚𝐤 𝐊𝐞𝐦𝐛𝐚𝐥𝐢, 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐓𝐢𝐧𝐠𝐠𝐚𝐥 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐚𝐰𝐚 𝐇𝐚𝐫𝐚𝐩𝐚𝐧
Dalam sekelip mata, sebuah keluarga kehilangan anak. Seorang isteri kehilangan suami. Anak-anak p**a membesar tanpa pelukan insan yang selama ini menjadi tempat bergantung. Begitulah beratnya kesan sebuah kemalangan jalan raya.
Ia bukan sekadar meragut nyawa tetapi turut mengubah masa depan sebuah keluarga. Tragedi di Jalan Karak Lama, Bentong baru-baru ini mengorbankan nyawa mereka yang masih muda. Di sebalik kesedihan yang masih membelenggu ahli keluarga, PERKESO segera menjalankan semakan bagi memastikan setiap waris yang layak menerima faedah perlindungan secepat mungkin.
Hasil semakan mendapati empat daripada mangsa merupakan pencarum aktif PERKESO dan layak menerima faedah mengikut kelayakan masing-masing di bawah Skim LINDUNG 24 Jam dan Skim Keilatan. Waris setiap mangsa turut menerima Faedah Pengurusan Mayat bagi membantu menguruskan urusan pengebumian manakala pasangan, anak-anak serta ibu bapa yang layak akan menerima pencen bulanan bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas kehilangan insan tersayang.
Bagi menampung kelangsungan kehidupan, dengan andaian penyaluran faedah jangka panjang sehingga 30 tahun kepada kesemua waris empat mangsa, jumlah keseluruhan yang diperuntukkan adalah melebihi RM1.2 juta. Demikianlah fungsi keselamatan sosial bagi memastikan waris yang ditinggalkan berupaya meneruskan hidup, walau tanpa insan tersayang yang merupakan ‘tulang belakang’ keluarga.
Salam takziah saya zahirkan kepada seluruh keluarga mangsa tragedi. Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan yang amat besar ini.