21/12/2025
Tempat Menarik di Yan Kedah
Sumber FB : kaki jalan 66
Oleh : Airil (kaki jalan 66)
Yan, Kedah bukan sekadar sebuah destinasi. Ia adalah helaian cerita tentang alam, kenangan dan ketenangan. Dalam video ini, saya kongsikan 8 lokasi pilihan, antara tempat-tempat yang menjadikan Yan ruang untuk kita kembali bernafas, memperlahankan langkah dan menikmati hidup dengan lebih jujur.
1 โ Paddy Field Homestay, Ulu Sedaka
Sebuah rumah kayu tradisional yang berdiri tenang di tepi sawah, menghadap Gunung Jerai yang megah. Hamparan padi menghijau, angin kampung yang lembut dan suasana damai membuatkan tempat ini terasa seperti pulang ke rumah lama, indah, sederhana dan yang paling penting, sangat murah harganya.
2 โ Warung Lah Roti Canai
Pagi di Yan disambut dengan aroma roti canai dari Warung Lah. Hanya 200 meter dari homestay, warung kecil berkonsep retro 70-an ini menghidangkan sarapan bersama rasa nostalgia. Roti sarang burung di sini antara yang paling popular dan wajib cuba.
3 โ Kopi Waktu
Santai di Kopi Waktu, ruang berjiwa 70-an yang kini dikenali di seluruh negara. Di sinilah masa seakan berhenti berputar, kopi dan roti dihidang percuma, orang ramai berkumpul dengan senyuman, berpakaian retro, berkongsi cerita dan ketawa tanpa jarak pemisah. Dibuka setiap Ahad, jam 5.00 petang hingga 7.00 petang. Port wajib singgah!
4 โ Pantai Murni, Yan
Pantai Murni menjadi tempat melepaskan lelah. Langit perlahan berubah warna, laut berbisik lembut, dan di kejauhan tersergam Gunung Jerai bersama tiga buah pulau yang menghiasi pandangan. Sebuah port healing yang mendamaikan jiwa seisi keluarga.
5 โ Air Terjun Seri Perigi
Di celah kehijauan hutan Gunung Jerai, mengalirlah Air Terjun Seri Perigi. Airnya jernih, dingin dan menyegarkan, sesuai untuk santai dan mandi-manda. Namun alam juga punya bahasa peringatannya; ketika hujan, keselamatan perlu sentiasa diutamakan.
6 โ Warung Tepi Pantai Ruat, Yan
Saat perut mula meminta haknya, singgahlah di Warung Tepi Pantai Ruat. Makan berlatarbelakangkan laut terbuka, ditemani angin masin dan bunyi ombak. Hidangannya sedap, rasanya memang terbaik, dan pemandangannya cukup untuk membuatkan kita lupa seketika pada hiruk-pikuk kota.
7 โ Puncak Gunung Jerai
Jika ke Yan, tidak lengkap tanpa naik ke Puncak Gunung Jerai. Sama ada menaiki kereta atau van yang disediakan, puncaknya menghadiahkan udara sejuk dan panorama luas yang menenangkan. Banyak aktiviti keluarga di atas ini, pengalaman yang wajib dirasai sekurang-kurangnya sekali.
8 โ Alor Pudak, Yan
Dan sebagai penutup, singgahlah di Alor Pudak untuk berdayung dengan kayak dan naik bot menyusuri air sungai yang tenang. Di sini juga terletaknya jambatan bersejarah T**i โHINGGAQโ atau T**i Bailey, saksi perjalanan masa. Dibuka setiap hari dari jam 11.00 pagi hingga 6.30 petang.
Jika ke Yan, inilah antara port-port yang wajar disinggah, indah pada pandangan, tenang pada rasa, dan kaya pada pengalaman.
Mai sendiri rasai experience di Yan, Kedah.
Saya ada kongsikan video satu per satu untuk setiap tempat ini, jangan lupa tengok nanti.
Jumpa lagi.