PKP demi PKKP, lockdown demi lockdown... saban hari peniaga gerai makanan semakin tersepit. Saya Mohd Adly Rizal selaku founder FriedChillies Media yang sering menulis cerita peniaga gerai sejak 1998 banyak menerima panggilan dari peniaga gerai sejak PKP tahun lepas. Mereka meminta bantuan dan idea macamana nak gerak dalam keadaan kehilangan pelanggan dan ekonomi negara yang tidak menentu ini. Bukannya mereka tidak mahu berusaha keras, tetapi Covid-19 ini pada mereka adalah bagaikan ribut ditengah lautan besar dan mereka bertahan kayuh berbekalkan sampan yang kecil sambil mengingati kebajikan keluarga yang perlu dijaga dirumah. Digagahkan juga merentang lautan badai ini. Projek Bagi Makan adalah sebuah projek serampang dua mata dimana sumbangan anda akan dimanfaatkan untuk (1) membeli makanan dari peniaga gerai supaya anda menyokong mereka mendapat pendapatan yang lebih lestari dan (2) makanan yang dibeli tadi akan dihantarkan kepada golongan asnaf & miskin seterusnya menolong menjaga kebajikan mereka semampu boleh. Jadi, satu sumbangan anda memanfaatkan dua golongan secara serentak. Doakanlah kejayaan team Projek Bagi Makan supaya kami dapat sama-sama membantu golongan yang memerlukannya semampu boleh.