30/09/2026
KENYATAAN MEDIA PGIRM
Untuk Edaran
30 September 2026
Kuala Lumpur
KENYATAAN PMX TENTANG SIMPANAN PERSARAAN:
PGIRM HORMATI MATLAMAT, NAMUN POLICY PAPER KWSP BERSASAR MASIH MENANTI JAWAPAN
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) mengambil maklum kenyataan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 29 September 2026 mengenai sasaran untuk meningkatkan jumlah ahli KWSP yang mencapai penanda aras Simpanan Asas RM390,000 pada usia 60 tahun daripada hampir 4 kepada 6 daripada setiap 10 ahli menjelang 2030.
PGIRM memahami kepentingan memastikan rakyat mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi tempoh persaraan yang panjang.
Namun begitu, PGIRM ingin menjelaskan bahawa kenyataan tersebut belum merupakan jawapan khusus kepada Policy Paper KWSP Bersasar yang telah diserahkan kepada pihak kerajaan pada 11 September 2026.
Policy Paper PGIRM membawa persoalan yang lebih khusus:
Bagaimana pencarum yang berdepan keadaan tertentu dan keperluan kewangan semasa boleh diberikan akses secara terkawal kepada sebahagian simpanan mereka, tanpa membuka ruang kepada pengeluaran bebas dan tanpa mengabaikan matlamat kecukupan simpanan persaraan?
Atas dasar itu, PGIRM mengemukakan prinsip:
BERSASAR • BERSYARAT • TERHAD • TERKAWAL
Cadangan ini bukan tuntutan supaya semua pencarum diberikan kebebasan mengeluarkan simpanan KWSP.
Sebaliknya, PGIRM meminta kerajaan menilai satu mekanisme yang mempunyai syarat, had, kategori kelayakan dan kawalan yang jelas, khususnya bagi pencarum yang benar-benar berdepan keadaan tertentu.
Menariknya, dalam kenyataan yang dilaporkan semalam, YAB Perdana Menteri turut menyentuh realiti isi rumah yang perlu berdepan keperluan kewangan semasa seperti makanan, sewa dan pendidikan sebelum mampu memikirkan simpanan untuk tempoh persaraan yang masih jauh.
Bagi PGIRM, perkara tersebut menunjukkan bahawa isu kecukupan simpanan persaraan dan tekanan kewangan semasa rakyat perlu dilihat secara seimbang.
PGIRM tidak mempertikaikan matlamat memperkukuh simpanan persaraan.
Yang PGIRM persoalkan ialah:
Adakah masih wajar pencarum yang benar-benar memenuhi syarat tertentu tidak mempunyai sebarang mekanisme tambahan untuk mengakses sebahagian simpanan mereka, sedangkan cadangan yang dikemukakan adalah secara bersasar dan terkawal?
Justeru, PGIRM berharap Policy Paper yang telah diserahkan kepada pihak kerajaan dapat dinilai secara khusus oleh pihak berkaitan dan diberikan maklum balas rasmi.
PGIRM juga menegaskan bahawa kenyataan PMX mengenai sasaran RM390,000 tidak wajar ditafsirkan sebagai penerimaan atau penolakan terhadap Policy Paper PGIRM kerana perkara tersebut tidak dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.
PGIRM hanya meminta satu perkara — supaya cadangan yang telah dikemukakan melalui Policy Paper dinilai berdasarkan mekanisme dan data, bukan semata-mata berdasarkan persepsi bahawa semua pengeluaran KWSP adalah pengeluaran bebas.
5 TAHUN MENYUARAKAN.
KINI CADANGAN SUDAH DIKEMUKAKAN.
PGIRM MENUNGGU JAWAPAN BERDASARKAN DASAR.
BERSASAR.
BERSYARAT.
TERHAD.
TERKAWAL.
Azmi Mohd Tahir
Presiden
Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM)
Rujukan kenyataan YAB Perdana Menteri bertarikh 29 September 2026.
https://www.sinarharian.com.my/ampArticle/798303
mStar Online
KUALA LUMPUR - Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan kepada enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan...