02/01/2026
AR-RISALAH : SIRI YANG KE-20
QAWIY AMIN, CIRI NABI MUSA AS SEBELUM MEMIMPIN
Nabi Musa as termasuk Nabi Ulul Azmi. Kisab Baginda as adalah kisah nabi paling banyak di dalam Al Quran. Banyak pengajaran dan Ibrah dapat diambil dari kisah Nabi Musa as. Firman Allah taala:
{ لَقَدۡ كَانَ فِی قَصَصِهِمۡ عِبۡرَةࣱ لِّأُو۟لِی ٱلۡأَلۡبَـٰبِۗ مَا كَانَ حَدِیثࣰا یُفۡتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصۡدِیقَ ٱلَّذِی بَیۡنَ یَدَیۡهِ وَتَفۡصِیلَ كُلِّ شَیۡءࣲ وَهُدࣰى وَرَحۡمَةࣰ لِّقَوۡمࣲ یُؤۡمِنُونَ }
[Surah Yūsuf: 111]
Maksudnya: Sungguh, pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang yang mempunyai akal. (Al-Qur`ān) itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Kisah Nabi Musa AS Keluar Mesir
Setelah Nabi Musa as meninju muka si qibti, penduduk asal Mesir yang menyebabkan kematiannya, Nabi Musa dinasihatkan oleh orang Istana Firaun agar keluar Mesir. Firman Allah:
{ وَجَاۤءَ رَجُلࣱ مِّنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِینَةِ یَسۡعَىٰ قَالَ یَـٰمُوسَىٰۤ إِنَّ ٱلۡمَلَأَ یَأۡتَمِرُونَ بِكَ لِیَقۡتُلُوكَ فَٱخۡرُجۡ إِنِّی لَكَ مِنَ ٱلنَّـٰصِحِینَ }
[Surah Al-Qaṣaṣ: 20]
Maksudnya:Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, (lalu menyampaikan berita) dengan berkata: "Wahai Musa, sesungguhnya pegawai-pegawai Firaun sedang mengadakan pakatan terhadapmu, mereka hendak membunuhmu; oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi nasihat secara ikhlas kepadamu".
Maka Nabi Musa as berjalan menuju ke Madyan. Kemudian Baginda membantu anak Nabi Syuib as untuk mengambil air. Baginda ditarbiah oleh Nabi Syuib as sebelum diutus menjadi pemimpin baniIsrael.
Allah mendatangkan perkataan anak Nabi Syuaib as yang menyebutkan dua sifat utama Nabi Musa as yang melayakkan baginda menjadi pemimpin. Firman Allah:
{ قَالَتۡ إِحۡدَىٰهُمَا یَـٰۤأَبَتِ ٱسۡتَـٔۡجِرۡهُۖ إِنَّ خَیۡرَ مَنِ ٱسۡتَـٔۡجَرۡتَ ٱلۡقَوِیُّ ٱلۡأَمِینُ }
[Surah Al-Qaṣaṣ: 26]
Maksudnya:Dan salah seorang dari kedua (perempuan) itu berkata, "Wahai ayahku! Jadikanlah dia sebagai pekerja (pada kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang engkau ambil sebagai pekerja (pada kita) ialah orang yang kuat dan dapat dipercaya.”
Nabi Musa as mempunyai dua sifat utama iaitu Qawiy (kuat) dan amin (amanah). Dua sifat ini penting bagi seorang pemimpin kerana tanpanya, kepimpinan akan rosak dan binasa.
Semoga Allah menjadikan pemimpin umat ini mempunyai kelayakan syara untuk memimpin.
اللهُمَّ مَنْ ولِي من أمْرِ أُمَّتِي شيئًا فَشَقَّ عليهم فاشْقُقْ علَيهِ ، ومَنْ ولِيَ من أمرِ أُمَّتِي شيئًا فَرَفَقَ بِهمْ فارْفُقْ بِهِ
Ya Allah, sesiapa yang memimpin kemudian menyusahkan urusan umatku ini,maka Engkau susahkanlah urusan dia.
Dan barangsiapa yang memimpin umatku dan memudahkan urusan mereka, maka yang mudahkan dia.
Sekian.
TERUS MEMIMPIN
KEMBALI KEPADA PENYELESAIAN ISLAM
Ibrahim Bin Ani
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang