04/09/2023
☆Tadabbur Kalamullah ☆
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam" [Surah al-Anbiya' 107]
Menurut Ibnu Kathir dalam tafsirnya, di dalam ayat ini Allah swt mengkhabarkan bahawa Dia menjadikan Nabi Muhammad saw sebagai rahmat bagi mereka (umat) semua. Barangsiapa yang menerima rahmat ini lalu beriman dan membenarkannya maka dia beroleh rahmat dan sesiapa yang melakukan sebaliknya maka dia akan kerugian di dunia dan akhirat (Lihat: Tafsir Ibn Kathir)
Seluruh ajaran Islam adalah rahmat, merangkumi segala nikmat roh dan jasad. Pelaksanaan perintah Allah dan meninggalkan laranganNya mengikut kemampuan adalah rahmat jua. Bahkan, mencegah larangan sehingga menghukum mereka yang melakukan larangan juga adalah rahmat.
Umat Nabi Muhammad saw merangkumi seluruh manusia sama ada penganut Islam dinamakan umat ijabah dan bukan Islam dinamakan umat dakwah. Para ulamak mentafsirkan rahmat itu meliputi seluruh manusia dan alam yang lain termasuk mereka yang beriman, kafir, munafik, zalim dan fasiq dalam kehidupan dunia ini.
Rahmat Allah terhadap yang kafir, munafik, zalim dan fasiq adalah diberi rezeki jasad dan akal kepada semua dalam kehidupan dunia.
Rahmat Allah juga ditangguhkan bala bencana yang pernah memusnahkan semua umat yang terdahulu daripada ditimpa ke atas umat Nabi Muhammad swt. dengan sebab maksiat. Rahmat juga dengan dibuka pintu taubat seluas-luasnya kepada mereka yang berdosa sama ada besar atau kecil.
Rahmat Allah juga menggalakkan taubat dan kemaafan daripada dosa-dosa, hanya sedikit sahaja yang tidak boleh dimaafkan iaitu syirik kerana sangat besar mudaratnya yang menjadi punca segala kejahatan dan jenayah moral.
Rahmat Allah juga dinyatakan dalam aspek pencegahan terhadap kemungkaran dan dosa, kerana semua yang diharamkan itu membawa mudarat. Pencegahannya melalui pelbagai pendekatan seperti nasihat, amaran dan hukuman terhadap pelakunya kerana rahmat Allah menyelamatkan orang yang baik dengan cegahan sehinggalah menghukum dengan sekeras-kerasnya.
♡Jelas, Islam tidak membataskan sikap dan perbuatan kasih sayang hanya kepada orang Islam sahaja. Ia harus diberikan kepada semua makhluk, baik manusia mahupun haiwan. Inilah yang dikatakan rahmat kepada sekalian alam♡