23/08/2026
GPMS: KEKALKAN DR. ASYRAF WAJDI, NILAI BERDASARKAN PRESTASI
KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2026 โ Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) mempertahankan kedudukan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan berpandangan beliau wajar diberikan ruang untuk meneruskan amanah serta agenda pembaharuan yang sedang dilaksanakan.
GPMS melihat kepimpinan Dr. Asyraf Wajdi sehingga hari ini sebagai kepimpinan yang aktif, responsif dan dekat dengan isu pendidikan serta kebajikan pelajar khususnya dalam institusi pendidikan di bawah MARA.
Bagi GPMS, penilaian terhadap Pengerusi MARA mesti dibuat berdasarkan prestasi, hasil kerja dan keberkesanan dasar bukannya berdasarkan persepsi atau tekanan politik.
โJika ada pihak mahu mempertikaikan kepimpinan Dr. Asyraf Wajdi, kemukakan bukti kegagalan beliau. Jangan jadikan MARA sebagai modal pertukaran kepimpinan tanpa alasan yang kukuh.โ
MARA bukan milik mana-mana individu atau parti politik. MARA ialah sebuah institusi amanah yang mempunyai tanggungjawab besar terhadap pembangunan pendidikan, keusahawanan dan mobiliti sosial Melayu serta Bumiputera.
Justeru, GPMS berpandangan sebarang perubahan kepimpinan MARA perlu dibuat atas pertimbangan kepentingan institusi dan prestasi bukan semata-mata kerana tekanan atau sentimen tertentu.
GPMS juga mahu melihat kesinambungan terhadap usaha memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti pendidikan MARA serta memastikan kebajikan pelajar terus menjadi keutamaan.
GPMS tidak mempertahankan individu secara membuta tuli. GPMS mempertahankan kepimpinan yang kami lihat masih mampu memberikan khidmat dan membawa agenda MARA ke hadapan.
Sekiranya terdapat kelemahan, tegurlah. Jika ada ruang penambahbaikan, perbaikilah. Tetapi jangan tukar kepimpinan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik tanpa membuktikan bahawa pengganti mampu memberikan prestasi yang lebih baik.
MARA terlalu penting untuk masa depan Melayu dan Bumiputera untuk dijadikan gelanggang percaturan politik.
Kekalkan yang berprestasi. Perbaiki yang lemah. Utamakan MARA bukan kepentingan politik.
FAZREEN FAUZI
Presiden
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)