10/03/2026
KUALA LUMPUR – Kempen Kasih Ramadan telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama beberapa organisasi dan sukarelawan setempat. Program ini dilaksanakan bertujuan untuk bersilaturrahim dan menyantuni penduduk PPR Seri Semarak yang memerlukan.
Program ini merupakan tajaan daripada Yayasan Ikhlas dan i-Medik. Sukarelawan ISMA Gombak dan Ahli Jawatankuasa Surau Seri Semarak dan penduduk setempat berganding bahu menyediakan barangan keperluan asas bagi membantu keluarga yang memerlukan.
Barang-barang ini dibeli dari Pasaraya Mydin terlebih dahulu dan seawal 11 pagi barangan dari Mydin sampai di perkarangan Surau Al-Husna. Seterusnya, para sukarelawan bersama-sama turun padang untuk memunggah barangan daripada lori dan disusun di atas meja mengikut kategori barangan. Sukarelawan juga turut bekerjasama memastikan setiap pek disusun dengan teratur di dalam kotak bagi memudahkan proses pengagihan kepada penduduk.
Barangan yang diagihkan seperti makanan kering iaitu bihun, biskut, kopi serta beberapa barangan dapur yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan keluarga di bulan yang mulia ini.