10/10/2026
KENYATAAN MEDIA
MENTERI BESAR KELANTAN
KELANTAN SAMBUT BAIK PERUNTUKAN BELANJAWAN 2027
Kerajaan Negeri Kelantan merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia atas pembentangan Belanjawan 2027, khususnya beberapa peruntukan dalam Bajet Persekutuan yang berkaitan dengan pembangunan Negeri Kelantan.
Antara perkara yang diumumkan termasuklah perancangan Projek Empangan Lebir sebagai salah satu inisiatif untuk menangani masalah banjir dan bekalan air bersih di Negeri Kelantan. Inisiatif ini bakal menjadi penyelesaian jangka panjang, seiring dengan penyiapan fasa kedua Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok serta pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai dan Loji Rawatan Air di Machang yang kini berada pada peringkat reka bentuk. Usaha ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan giat kerja-kerja penggantian paip air usang.
Pengoperasian Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Gombak ke Kota Bharu pada Disember ini, di samping penyambungan landasannya ke Rantau Panjang serta pengumuman pembinaan sebuah stesen bas yang bersepadu dengan Stesen ECRL Kota Bharu, akan melengkapkan lagi jaringan terminal pengangkutan di Negeri Kelantan. Walau bagaimanapun, demi memastikan pembangunan yang lebih seimbang antara wilayah, Kelantan berharap agar cadangan penyambungan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dari Terengganu ke Kelantan turut diberikan perhatian.
Kerajaan Negeri turut menyambut baik hasrat Kerajaan Persekutuan untuk melengkapkan Hospital Pakar USM di Kubang Kerian dengan teknologi pembedahan robotik, di samping membina tabika untuk masyarakat Orang Asli di Kampung Angkek dan Pos Belatim.
Kerajaan Negeri Kelantan yakin bahawa, dalam konteks federalisme Bajet Persekutuan 2027 yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, khususnya yang berkaitan dengan Negeri Kelantan, serta Bajet Negeri Kelantan 2027 yang akan dibentangkan pada 29 Oktober nanti, bakal membawa berita baik kepada rakyat Kelantan. Keyakinan ini turut disokong oleh hubungan baik antara kerajaan (G to G) yang terjalin antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia.
Sekian.
DATO’ PANGLIMA PERANG USTAZ DATO’ HJ. MOHD NASSURUDDIN BIN HJ. DAUD
Menteri Besar Kelantan
28 Rabiulakhir 1448 bersamaan
10 Oktober 2026 (Sabtu)