19/04/2026
Bachok Jadi Tumpuan Kejohanan Kuda Lasak Kelantan 2026
BACHOK, 20 April β Naib Presiden 4 Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia ( M.A.Y.C ), Saudara Ahmad Faris bin Yusof, telah turun ke daerah Bachok bagi mengadakan lawatan tapak pemantauan persiapan Kejohanan Kuda Lasak Peringkat Negeri Kelantan 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos depan.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi MAYC Kawasan Bachok merangkap Presiden Persatuan Ekuestrian Negeri Kelantan (baharu) berkata, penganjuran kejohanan kali ini bukan sekadar acara sukan, malah menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat baharu dalam kalangan belia dan beliawanis.
βMelalui kejohanan ini, kita mahu mencungkil atlet muda berpotensi yang mampu mewakili Kelantan ke peringkat lebih tinggi menjelang tahun 2028,β katanya ketika ditemui semasa lawatan tersebut.
Menurut beliau, Bachok dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana mempunyai potensi besar dari segi laluan dan sokongan komuniti setempat, selain mampu menjadi pusat pembangunan sukan ekuestrian di negeri ini.
Dalam pada itu, Ahmad Faris turut menegaskan bahawa pertubuhan belia seperti MAYC akan memainkan peranan penting sebagai badan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan kejohanan berkenaan.
βMAYC akan menggerakkan pasukan sukarelawan sebagai PIC bagi memastikan setiap aspek penganjuran berjalan lancar. Penglibatan belia sebagai tenaga sukarelawan bukan sahaja membantu kejohanan, malah membina semangat kepimpinan dan kerja berpasukan,β ujarnya.
Tambah beliau, kerjasama antara pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan sukan dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan kejohanan ini mencapai objektifnya.
Kejohanan Kuda Lasak Peringkat Negeri Kelantan 2026 dijangka menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai daerah di seluruh negeri dan seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus memeriahkan lagi kalendar sukan negeri serta memperkukuh pembangunan sukan ekuestrian di Kelantan.