16/06/2026
KALENDAR HIJRAH: SIMBOL TAMADUN ISLAM YANG SEMAKIN DILUPAKAN
Ketika Nabi Muhammad ﷺ dilahirkan pada tahun 570 Masihi, dunia ketika itu dikuasai oleh tiga kuasa besar iaitu Empayar Rom Timur (Byzantine), Empayar Parsi Sasaniah dan Kerajaan Aksum di Habsyah.
Tiada siapa menyangka bahawa hanya beberapa dekad kemudian, umat Islam yang lahir dari padang pasir Arab akan mengubah peta dunia.
Nabi Muhammad ﷺ wafat pada tahun 632 Masihi setelah menyempurnakan risalah Islam. Kepimpinan umat diteruskan oleh Khulafa’ al-Rasyidin.
Bermula saat itu, sejarah dunia berubah.
Pada tahun 634 Masihi, tentera Islam memulakan pembukaan wilayah Syam yang ketika itu berada di bawah Empayar Rom Timur.
Pada tahun 636 Masihi berlaku Perang Yarmuk, antara peperangan paling penting dalam sejarah dunia. Tentera Islam berjaya menewaskan tentera Rom yang jauh lebih besar bilangannya. Kekalahan ini menyebabkan Rom kehilangan sebahagian besar wilayah Syam buat selama-lamanya.
Pada tahun 638 Masihi, Baitulmaqdis p**a dibuka dan menerima pemerintahan Islam.
Pada tahun 640 Masihi, tentera Islam memasuki Mesir yang juga berada di bawah penguasaan Rom.
Pada tahun 642 Masihi, Iskandariah jatuh ke tangan umat Islam dan berakhirlah penguasaan Rom di Mesir yang telah berlangsung selama berabad-abad.
Pada masa yang sama, umat Islam turut berhadapan dengan Empayar Parsi yang merupakan kuasa besar dunia ketika itu.
Pada tahun 636 Masihi berlaku Perang al-Qadisiyyah. Tentera Islam berjaya menewaskan angkatan perang Parsi dan membuka jalan ke ibu kota mereka.
Pada tahun 637 Masihi, kota Ctesiphon (al-Mada’in), pusat pemerintahan Empayar Parsi, jatuh ke tangan Islam.
Kemudian pada tahun 642 Masihi berlaku Perang Nahawand yang digelar oleh para sejarawan sebagai “Kemenangan Segala Kemenangan”. Kekalahan ini menghancurkan kekuatan utama Parsi dan mempercepatkan kejatuhan empayar tersebut.
Pada tahun 651 Masihi, Empayar Parsi Sasaniah lenyap sepenuhnya daripada peta dunia.
Hanya dalam tempoh kira-kira 20 tahun selepas kewafatan Rasulullah ﷺ, dua kuasa besar dunia iaitu Rom dan Parsi telah ditewaskan oleh umat Islam.
Daripada sebuah masyarakat kecil di Madinah, Islam muncul sebagai tamadun dunia yang baharu.
Dalam suasana kegemilangan inilah timbul keperluan untuk umat Islam mempunyai sistem pentarikhan sendiri.
Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab RA, Abu Musa al-Asy’ari RA menulis surat kepada khalifah menyatakan kesukaran mengurus surat-menyurat rasmi kerana tiada sistem tahun yang tetap.
Lalu para sahabat bermesyuarat.
Ada yang mencadangkan agar umat Islam menggunakan kalendar Rom. Ada juga yang mencadangkan tarikh kelahiran atau kewafatan Nabi ﷺ dijadikan permulaan tahun.
Namun akhirnya para sahabat memilih peristiwa Hijrah Nabi ﷺ dari Makkah ke Madinah sebagai titik permulaan kalendar Islam.
Keputusan ini sangat besar maknanya.
Kalendar Hijrah bukan sekadar alat mengira hari dan bulan. Ia adalah simbol kemerdekaan tamadun Islam.
Sebuah tamadun yang telah mengalahkan Rom dan Parsi tidak mahu bergantung kepada sistem pentarikhan tamadun lain.
Bukankah apabila sebuah kerajaan baharu memenangi pilihan raya, mereka sering memperkenalkan logo baharu, slogan baharu, dasar baharu dan identiti baharu?
Malah kepala surat rasmi juga ditukar.
Begitulah juga yang dilakukan oleh umat Islam. Mereka membina identiti sendiri termasuk dalam urusan kalendar.
Sebab itulah sepanjang sejarah, kerajaan Umawiyyah, Abbasiyyah, Uthmaniyyah, kerajaan-kerajaan Islam di India, bahkan Kesultanan Melayu Melaka menggunakan kalendar Hijrah sebagai kalendar rasmi.
Namun apabila dunia Islam dijajah Barat, kalendar Masihi mula mengambil tempat dalam pentadbiran dan kehidupan masyarakat.
Lebih malang, selepas mencapai kemerdekaan, kebanyakan negara Islam terus mengekalkan kalendar Masihi sebagai kalendar utama manakala kalendar Hijrah hanya digunakan dalam urusan ibadah tertentu.
Akibatnya, ramai umat Islam semakin jauh daripada sejarah mereka sendiri.
Kesan ini turut dirasai dalam ibadah zakat.
Bagi zakat yang mensyaratkan haul, tempohnya ialah setahun Hijrah, bukannya setahun Masihi.
Tahun Hijrah lebih pendek sekitar 11 hari berbanding tahun Masihi.
Selepas 30 tahun, perbezaan terkumpul menghampiri satu tahun penuh.
Ini bermakna seseorang yang sentiasa mengira haul berdasarkan tahun Masihi sebenarnya telah menangguhkan pembayaran zakat hampir setahun tanpa disedari.
Berapa ramai yang menyedari perkara ini?
Lebih membimbangkan, bulan-bulan haram seperti Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah semakin dilupakan.
Ramai anak muda lebih mengenali Januari, Februari dan Mac berbanding Muharam, Safar dan Rabiulawal.
Sedangkan seluruh sejarah Islam dicatatkan berdasarkan kalendar Hijrah.
Apabila kalendar Hijrah dilupakan, sedikit demi sedikit sejarah Islam juga akan dilupakan.
Sudah tiba masanya umat Islam mengangkat semula kalendar Hijrah dalam kehidupan seharian.
Bukan dengan menolak kalendar Masihi yang diperlukan untuk urusan antarabangsa, tetapi dengan menjadikan kalendar Hijrah sebagai rujukan utama umat Islam dalam urusan agama, pendidikan, media, organisasi dan kehidupan bermasyarakat.
Kalendar Hijrah bukan sekadar penanda waktu.
Ia adalah lambang kemenangan, identiti, tamadun dan sejarah umat Islam.
Jika kita mahu mengingati sejarah Islam, maka hidupkanlah kembali kalendar Hijrah.