09/06/2026
Pihak Persatuan Orang Pekak Kedah Darul Aman (POPKDA) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yayasan Jariah Aafiyat atas kesudian mengadakan sesi perbincangan yang penuh bermakna bersama kami.
Kami amat menghargai komitmen dan keprihatinan pihak yayasan dalam usaha memperkasa ekonomi komuniti pekak melalui pembangunan kemahiran, keusahawanan dan peluang menjana pendapatan yang lebih mampan. Inisiatif sebegini bukan sahaja memberi harapan baharu kepada komuniti pekak, malah membuka ruang yang lebih luas untuk mereka berdikari, meningkatkan taraf hidup serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat secara keseluruhannya.
Insya-Allah, POPKDA komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan setiap perancangan yang dibincangkan dapat direalisasikan dengan jayanya. Semoga kerjasama strategik ini menjadi titik permulaan kepada pelbagai program dan projek yang memberi manfaat berpanjangan kepada komuniti orang pekak di Negeri Kedah.
Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan. Semoga segala usaha murni ini dipermudahkan dan diberkati Allah SWT.
"Bersama Memperkasa Komuniti Pekak Ke Arah Kemandirian dan Kesejahteraan."