13/05/2026
MAKAM NISAN ACEH SEKITAR KUBU KOTA LIMBONG
KUBU KOTA PERTAHANAN LIMBUNG/DI SINILAH LOKASI SEBENAR PERTEMPURAN ANTARA BUGIS DAN KEDAH (TOKOH DAENG PARANI)
Lokasi Terletak Di Kawasan Kg Limbung Langgar Di Kedah,Beberapa Makam Serta Nisan Ace Makam Ribuan Tahun Serta Struktur Bersejarah Tembok Kota Masih Ada Hingga Ke Hari Ini !
KOTA LIMBONG
Ini adalah sebahagian daripada kota pertahanan di Kota Limbong yang dibina atas muafakat antara Duli Baginda Sultan Abdullah Mu'adzam Shah dengan Tengku Ibrahim Raja Muda. Untuk pengetahuan semua, Tengku Ibrahim adalah adinda kepada Sultan Kedah ke -17 ketika itu. Adinda Tengku Ibrahim Raja Muda iaitu Tengku Latifah berkahwin dengan Tengku Ishak, cucu Tengku Paduka Maharaja Temenggong Kota Giam. Ketiga-tiga ini adalah anakanda kepada Sultan Atha'allah Muhammad Shah ll, Marhum Bukit Pinang l.
Pembinaan Kota Limbong masih tidak ketahui tarikhnya. Namun, selepas Duli Baginda Sultan Abdullah Mu'adzam Shah mengangkat adindanya menjadi Raja Muda Kota Limbong, barulah dimuafakat sekali lagi bagi pembinaan sebuah kota iaitu Kota Langgar pada 17 Jun 1701 Masihi. Kota Langgar bukan fungsinya untuk pertahanan malah ia adalah tapak pemakaman untuk kerabat diraja dan pembesar istana yang dihimpunkam dalam satu kawasan. Kini, sudah 319 tahun Makam Diraja Langgar itu wujud dan masih digunakan bagi istiadat pemakaman oleh kerabat istana.
Misalnya, Perdana Menteri Pertama Malaysia, Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang telah mangkat pada 6 Disember 1990 pada usianya 87 tahun dan dimakamkan dalam Bahagian Kedua bersebelahan dengan makam Presiden Kerajaan Negeri Kedah Pertama, YTM Tunku Abdul Aziz ibni Almarhum Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah serta YTM Tunku Kassim Raja Laksamana Kedah. Malah, KDYMM Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dimakamkan dalam Bahagian Kedua setelah mangkat pada 11 September 2017 bersebelahan dengan makam isteri almarhum iaitu, KDYMM Sultanah Hajah Bahiyah Binti Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang mangkat pada 23 Ogos 2003 akibat sakit kanser.
Kota yang dalam gambaran di bawah berkemungkinan fungsinya sebagai 'bunker' dengan keluasan hanya dalam anggaran 10 x 12 kaki. Menurut pengkaji dari PSMCK, mereka mengatakan ada lagi gugusan monumen sebegini yang bersaiz besar duduk berselerakan dalam kawasan Limbong dan Pagar Air. Malah, yang menjadi musykil apabila terdapat beberapa makam yang bernisan kan batu aceh abad ke 17-19 juga berselerakan dalam radius 1-3 kilometer di kawasan yang sama namun masih misteri siapakah pemilik makam-makam tersebut.
Menariknya, nama Kota Limbong ini diambil sempena nama limbung kapal ataupun tempat membaiki kapal/pembikinan kapal. Mengikut beberapa kajian geologi berkenaan dengan topografi dan juga paras air laut per abad, mengatakan sebelum abad ke 14, kawasan ini adalah pinggir pantai kuno. Dengan perolehan data menunjukkan mungkin Kota Limbong ini telah wujud dengan lebih lama atas sebab pembukaan kota/pekan dan juga menjadi pengkalan/limbungan kapal sebelum air laut surut secara mendadak dek kerana zaman dan abad bersilih ganti.
p/s:
Ini adalah dapatan data yang dikongsi oleh para pengkaji secara lapangan sewaktu eksplorasi ini dilakukan. Jadi, selamat membaca!
Kredit Kajian : PSMCK Dan Pangeran Muda Al-Furqan