28/11/2025
Peperangan antara Jawa dengan Monggol
Peperangan antara Jawa dengan monggol dikatakan yang terbesar antara empat peperangan semasa Dinasti Yuan.
Dituliskan dalam 元史 Yuánshǐ, Sejarah Yuan dari bab 爪哇傳 Zhǎowā zhuàn yakni Biografi Jawa, "世祖撫有四夷,其出師海外諸蕃者,惟爪哇之役為大." Dalam peperangan dengan empat bangsa yang dihadapi oleh 元世祖 Yuán shìzǔ (世祖 shìzǔ bermaksud pendiri kerajaan iaitu Kublai Khan 忽必烈) di mana mereka telah menghantar bala tentera ke seberang laut namun hanya peperangan di Jawa adalah yang terbesar. Yang di maksudkan empat peperangan ini ialah untuk memerangi Jepun, Vietnam atau DaiViet, Champa dan Jawa.
Tidak lama selepas pembentukan Dinasti Yuan (1271 - 1368), panglima Monggol telah mengeluarkan arahan, "丁丑,唆都请招三佛齐等八国,不从". Pada 丁丑 Dīng chǒu iaitu tahun 1277, Suō dū telah memanggil Sān fó qí dan 8 buah negara lain mengapa tidak tunduk (kepada kerajaan Monggol). Pada tahun 1284 seorang ahli pelayaran dan diplomat berbangsa Uighur, 亦黑迷失 Yì hēi míshī menjunjung titah Kublai Khan dengan bertolak dari 泉州 Quánzhōu (sebuah pelabuhan utama di Wilayah Fujian) sehingga ke Ceylon (Sri Lanka sekarang). Hingga tahun 1286, Dinasti Yuan telah menerima perakuan tunduk daripada 10 buah negara Nanyang (negara-negara di selatan China amnya). Sementara itu di tahun 1285 Dinasti Yuan telah menghantar tentera ke negara Champa sebagai logistik ketenteraan. Di tahun 1287 menghantar utusan kepada Dinasti Chola di selatan India agar menurut perintah.
Kublai Khan bertitah, "卿等至爪哇,明告其國軍民,朝廷初與爪哇通使往來交好,後刺詔使孟右丞之面,以此進討." Apabila rombongan utusan sampai ke Jawa telah memberitahu dengan jelas kepada tentera dan rakyatnya bahawa sejak awal lagi istana China memang mempunyai hubungan yang baik dengan Jawa tetapi kemudiannya utusan kanan, 孟琪 Mèng qí telah dicucuk mukanya, disebabkan hal ini maka terpaksa memeranginya.
Sebenarnya Jawa lebih awal diarahkan untuk tunduk kepada Dinasti Yuan. Dituliskan, "自至元十七年,始降旨招谕其国." Sejak tahun ke 17 yakni di tahun 1281 telah diperintahkan negara itu (Jawa) untuk tunduk (kepada Dinasti Yuan). Ia seperti yang diarahkan oleh panglima Monggol, 唆都 Suō dū sebelum itu terhadap Srivijaya dan 8 buah negara yang lain. Perlu dijelaskan bahawa tahun-tahun yang ditulis dalam rekod 爪哇傳 Zhǎowā zhuàn adalah bermula dari 至元 Zhì yuán (bulan 8 tahun 1264) yang merupakan era sebelum Kublai Khan mendirikan Dinasti Yuan. Manakala bulan-bulan yang direkodkan adalah merujuk kepada bulan-bulan dalam kalendar China tetapi bukan kalendar Masehi.
Disebutkan, "至元二十九年二月,詔福建行省除史弼、亦黑迷失、高興平章政事,征爪哇;會福建、江西、湖廣三行省兵凡二萬 ....... 發舟千艘,給糧一年." Pada bulan 2 tahun ke-29 (1292) diarahkan seorang pemerintah tentera dari Wilayah Fujian, 史弼 Shǐ bì, 亦黑迷失 Yì hēi míshī dan pegawai tentera 高興 Gāo xìng untuk menakluki Jawa. Mereka mengumpulkan bala tentera dari tiga buah wilayah ialah 福建 Fújiàn 、江西 Jiāngxī dan 湖廣 Húguǎng seramai 20 ribu orang. Menggunakan seribu buah kapal dan menyediakan barang makanan untuk kegunaan selama setahun.
Pada bulan 9 mereka berkumpul di 慶元 Qìng yuán, sebuah daerah dalam Wilayah 浙江 Zhèjiāng. Shǐ bì dan Yì hēi míshī terus berangkat ke 泉州 Quánzhōu, sebuah pelabuhan di Wilayah Fujian. Manakala Gāo xìng mengetuai konvoi kelengkapan tentera dan kapal-kapal bergerak dari Qìng yuán juga menuju ke Quánzhōu. Diikuti pada bulan 11 angkatan tentera dari Fujian, Jiāngxī dan Húguǎng turut sampai di Quánzhōu. Pada bulan 12 mereka memulakan pelayaran dengan tiupan angin monson timur laut.
Dicatatkan, "风急涛涌,舟掀簸,士卒数日不能食。过七洲洋、万里石塘,历交趾、占城界." Angin kencang, ombak besar dan kapal-kapal dilambung badai. Beberapa hari askar-askar tidak boleh makan. Melepasi 七洲洋 Qī zhōu yáng, 万里石塘 Wànlǐ shí táng, 历交趾 melewati Jiāozhǐ (utara Vietnam sekarang) dan melalui sempadan 占城 Zhàn chéng iaitu Champa.
Setelah pelayaran selama sebulan dicatatkan, "三十年正月,至構欄山議方略. "Pada bulan 1 tahun ke-30 (1293) mereka telah sampai 構欄山 Gòu lán shān (Pulau Gelam yang terletak di luar pantai Kalimantan Barat iaitu di kecamatan Kendawangan dalam Kabupaten Ketapang) untuk merencanakan strategi seterusnya. Pada bulan 2 亦黑迷失 Yì hēi míshī telah mengetuai lebih 500 orang askar dengan 10 buah kapal bergerak terlebih dahulu dengan membawakan perintah raja untuk menghukum Jawa. Di p**au ini mereka telah berehat selama sebulan dan membaiki kapal.
Batu bersurat atau prasasti yang disebut Prasasti Pasir Kapal dan Pasir Cina telah dijumpai di Pulau Serutu, kecamatan Kep**auan Karimata, kabupaten Kayong Utara. Prasasti ini menyebut bahawa angkatan Monggol pernah berehat di sini dalam pelayaran ke Jawa. Dipahatkan, "舟五百隻至元三十年正月十八日泊此." Lima ratus buah kapal telah berhenti di sini pada 18 haribulan 1 tahun ke-30 iaitu 1293.
Dalam masa yang sama bala tentera yang besar meneruskan pelayaran ke 吉利門 Jílì mén (Pulau Karimunjawa yang terletak ke utara Pulau Jawa). Dicatatkan, "弼、興進至爪哇之杜並足,與亦黑迷失等議,分軍下岸,水陸並進." Shǐ bì dan Gāo xìng telah sampai ke Jawa di tempat yang bernama 杜並足 Dù bìng zú iaitu Tuban dan bertemu dengan Yì hēi míshī. Membahagi-bahagikan askar untuk mendarat, ada yang mengikuti jalan laut dan jalan darat.
Situasi di Jawa ketika itu p**a telah berubah. Semasa utusan Monggol dicucukkan mukanya adalah di saat-saat akhir pemerintahan raja Singhasari iaitu Kertanegara. Kerajaan Singhasari di masa kemuncaknya telah menyerang Srivijaya bermula di tahun 1275 dalam apa yang disebut Ekspedisi Pamalayu. Namun peperangan antara Srivijaya dengan Singhasari berakhir setelah Jayakatwang, seorang raja bawahan naungan Singhasari melakukan pemberontakan di hari pernikahan anak perempuan Kertanegara dengan Raden Wijaya, seorang putera raja Bali. Akhirnya Kertanegara telah dibunuh di tahun 1292 oleh Jawakatwang yang dikatakan berketurunan Kediri dan mahu mengembalikan kerajaan Kediri.
Mengikut sejarahnya apabila Srivijaya membantu Wurawari memusnahkan kerajaan Medang dengan terbunuhnya Raja Dharmawangsa di tahun 1016, maka menantu Dharmawangsa, Airlangga telah mendirikan kerajaan Kahuripan. Manakala Srivijaya menguasai Tuban, penguasaan Srivijaya selama 200 tahun berakhir setelah Singhasari berjaya menyatukan Pulau Jawa. Setelah Airlangga turun takta lalu membahagikan negara Kahuripan kepada dua puteranya, di bahagian utara yang bersempadan dengan Tuban dinamakan Jenggala manakala di bahagian selatan dinamakan Panjalu atau Kediri. Akhrnya Kediri telah menyatukan kedua-dua negara ini. Jayakatwang mendakwa Kediri adalah leluhurnya yang telah dimusnahkan oleh Singhasari. Oleh itu beliau membunuh raja Singhasari, Kertanegara bagi mendirikan kembali kerajaan Kediri II.
Dicatatkan, "其婿土罕必阇耶攻葛郎不胜,退保麻喏巴歇,闻弼等至,以其国山川、户口,并献葛郎国地图纳降." Menantu (Kertanegara), Raden Wijaya menyerang Kediri tetapi tidak berjaya lalu berundur ke Majapahit. Setelah mendengar Shǐ bì dan yang lain-lainnya datang (untuk menyerang Jawa) lalu memberikan penerangan tentang keadaan geografi negara (Kediri), keadaan kependudukan serta menyerahkan peta negara Kediri dan bersedia menyerah diri.
Pada asalnya angkatan tentera Monggol tidak mengetahui telah berlaku perubahan kerajaan di Jawa. Pada anggapan mereka yang akan perangi ialah kerajaan Singhasari tetapi sebenarnya ialah angkatan Jawakatwang yang telah menguasai kerajaan.
Angkatan tentera Monggol yang mendarat di Tuban telah bergerak dari pelabuhan 戎牙路 Róng yá lù iaitu Jenggala (terletak di sebelah timur Tuban) ke 八節澗 Bā jié jiàn. Tentang tempat Bā jié jiàn dikatakan terletak di timur laut Surabaya sekarang. Ada yang menyebutnya Kali Mas yang merupakan cabang kepada Sungai Brantas.
Dicatatkan pertempuran yang dahsyat telah berlaku pada 1 haribulan 3 di Bā jié jiàn yang bersambungan dengan 杜馬班 Dù mǎ bān iaitu Tumapel yang merupakan tempat istana kerajaan Singhasari. Tentera Monggol menaiki kuda dan berjalan kaki serta menggunakan kapal bagi mengepung kawasan peperangan. Ketika tentera Monggol sedang mara ke depan, Raden Wijaya menghantar utusan mengatakan yang tentera raja 葛郎 Gé láng iaitu Kediri mengejar untuk membunuhnya sehingga ke 麻喏巴歇 Má nuò bā xiē (Majapahit), beliau memohon bantuan tentera untuk menyelamatkan dirinya. Ketika itu tentera Raden Wijaya bersama memerangi angkatan Jawakatwang.
高興 Gāo xìng kemudiannya telah bergegas ke Majapahit namun mendapati askar-askar Kediri tidak kelihatan untuk menghampiri Majapahit lalu beliau kembali ke 八節澗 Bā jié jiàn. Manakala Yì hēi míshī mendapat perkhabaran yang tentera Kediri akan sampai pada malam tersebut dan meminta Gāo xìng untuk berpatah balik ke Majapahit.
Pada 7 haribulan 3 askar-askar Kediri telah menyerang Raden Wijaya dari tiga arah. Pada subuh 8 haribulan Yì hēi míshī dan sebilangan askar-askar Monggol menunggu dari arah barat daya Majapahit namun tiada pertempuran yang berlaku. Yang berlaku pertempuran ialah di bahagian tenggara Majapahit antara askar-askar Monggol pimpinan Gāo xìng dengan askar-askar Kediri. Membunuh ratusan askar Kediri dan selainnya bertempiaran lari masuk ke hutan. Pada tengah harinya datang lagi askar-askar Kediri dari arah barat daya, sekali lagi dipatahkan oleh Gāo xìng pada petang itu juga.
Selang seminggu kemudiannya pada 15 haribulan tentera Monggol dipecahkan kepada tiga divisyen untuk menyerang Kediri. Pada 19 haribulan mereka berkumpul di 答哈 Dá hā dan barulah kedengaran bunyi pertempuran dengan arteleri meriam. Satu divisyen yang diketuai oleh 土虎登哥 Tǔ hǔ dēng gē dan tentera laut memudiki sungai. Yì hēi míshī p**a mengetuai jalan arah ke barat manakala Gāo xìng dan askar-askarnya mara ke arah timur. Askar-askar Raden Wijaya p**a berada di belakang sebagai sokongan sahaja.
Raja Kediri membawa lebih 10 ribu askar untuk berperang dalam tiga pertempuran dari awal pagi hingga ke petang. Namun menemui kekalahan yang teruk, yang terjun ke dalam sungai dan mati dibunuh lebih seribu orang. Keseluruhan angka korban di pihak Kediri menjangkau lebih 5000 orang. Kemudiannya raja Kediri masuk ke dalam kota dan bertahan namun dikepung oleh tentera Monggol. Akhirnya raja 哈只葛 Hā zhǐ gé yakni Jawakatwang menyerah diri pada waktu hampir senja. Disebutkan, "得哈只葛當妻子官屬百餘人,及地圖戶籍、所上金字表以還." Yang ditawan termasuklah isteri Jayakatwang dan lebih 100 oang tawanan. Selainnya ialah peta, daftar penduduk dan emas-emas turut dirampas.
Pada 2 haribulan 4 Raden Wijaya memberitahu mahu kembali ke Majapahit untuk menyediakan warkah tunduk kepada kerajaan Monggol dan memberikan hadiah yang berharga. Dicatatkan, "以萬戶捏只不丁、甘州不花率兵二百護送。十九日,土罕必闍耶背叛逃去,留軍拒戰. 至中途,杀二使叛去,且合众来攻." Diiringi oleh 捏只不丁 Niē zhǐ bu dīng, seorang pegawai tentera yang mengawal 10 ribu askar dan 甘州不花 Gān zhōu bù huā bersama-sama dengan 200 orang askar. Pada 19 haribulan Raden Wijaya khianat dengan melarikan diri. Tenteranya yang masih berada di medan menolak untuk terus berperang. Di pertengahan jalan mereka telah diserang secara berkump**an dan kedua-duanya telah telah mati dibunuh.
Dicatatkan, "弼自斷後,且戰且行,行三百里,得登舟." Setelah Shǐ bì mengambil keputusan sendiri sambil berperang sambil bergerak dengan perjalanan berjarak 300 batu (dari Kediri ke Tuban) untuk menaikki kapal. Oleh itu mereka sudah tentulah tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap 200 askar pengiring kepada Raden Wijaya yang dibunuh itu.
Pada 24 haribulan 4, "行六十八日夜,达泉州,士卒亡者三千馀人。帝怒弼等玩寇无功,各杖之. "Pelayaran balik siang dan malam selama 68 hari untuk sampai ke 泉州 Quánzhōu. Kesemua askar-askar yang terkorban lebih 3 ribu orang. Maharaja Kublai Khan amat murka terhadap Shǐ bì dan yang lainnya kerana tidak berjaya dalam peperangan yang amat kritikal ini. Masing-masing telah menjalani hukuman 杖刑 zhàng xíng iaitu dengan memukul punggung dengan kayu pemukul dalam kedudukan meniarap.
Dalam 史弼傳 Shǐ bì zhuàn iaitu Biografi Shǐ bì menyebut, "朝廷以弼亡失多,杖十七." Disebabkan angkatan Shǐ bì telah mengalami banyak korban tentera maka istana telah menjatuhkan hukuman 杖刑 zhàng xíng sebanyak 17 kali pukulan. Manakala dalam 高興傳 Gāo xìng zhuàn iaitu Biografi Gāo xìng menyebut, "詔治縱爪哇者,弼與亦黑迷失皆獲罪,興獨以不預議,且功多,賜金五十兩." Bagi yang telah diperintahkan untuk memerangi Jawa, Shǐ bì dan Yì hēi míshī didapati bersalah tetapi tidak bagi Gāo xìng malah jasanya lebih besar lalu dianugerahkan emas lima puluh tahil.
Meneliti episod peperangan antara Jawa dengan Monggol ini terdapat banyak percanggahan fakta yang ditulis dari sumber primer berbanding yang ditulis oleh setengah penulis lain. Walau bagaimanapun adalah sukar untuk diterima kenyataan yang menyebut tentera Monggol hanya mengalami korban jiwa seramai tiga ribu sahaja seperti yang ditulis dalam 爪哇傳 Zhǎowā zhuàn. Menurut beberapa kajian moden menjangkakan angka kematian tentera Monggol mungkin lebih separuh daripada jumlah anggota tentera yang dihantar untuk memerangi Jawa. Ia juga diakui dalam 史弼傳 Shǐ bì zhuàn iaitu Biografi Shǐ bì di mana menyebut 弼亡失多 iaitu angkatan tentera Shǐ bì telah mengalami banyak korban jiwa yang akhirnya dijatuhi 17 kali hukuman zhàng xíng.
Pertamanya, utusan Monggol 孟琪 Mèng qí dituliskan hanya dicucukkan (刺 Cì) muka dengan benda tajam. Ia sebagai simbolik untuk memperlekehkan kerajaan Dinasti Yuan. Namun dalam penulisan lain menyebut dicederakan dengan besi panas atau dilukiskan tatoo di muka. Ada yang menokok tambah dengan menuliskan dikeratkan telinga.
Kedua, sumber primer menyebut ketika dalam perjalanan Raden Wijaya kembali ke Majapahit untuk menyediakan warkah tunduk kepada kerajaan Mnggol, beliau telah khianat dan melarikan diri serta 200 askar-askar pengiring dibunuh. Ketika itu kump**an utama askar-askar Monggol sambil berperang sambil bergerak menuju pelabuhan di Tuban yang sejauh 300 batu dan bersedia untuk menaiki kapal p**ang ke China. Maka sudah tentulah askar-askar Monggol tidak akan berpatah balik. Namun dalam penulisan lain sering menyebut kejayaan Raden Wijaya mengalahkan tentera Monggol. Dituliskan juga yang askar-askar pengiring disyaratkan oleh Raden Wijaya supaya tidak membawa senjata kerana khuatir apabila tiba di istana ditakuti oleh puteri-puteri. Seorang askar jika dilucutkan senjata bukanlah seorang perajurit di medan perang, dalam tipu helah peperangan yang licik adakah benar askar-askar Monggol diperkudakan dengan syarat tidak membawa senjata?
Ketiga, dalam penulisan lain menyebut askar-askar Monggol sedang mabuk kerana asyik minum arak dan berpesta merayakan kejayaan mereka ketika diserbu oleh askar-askar Raden Wijaya. Namun realitinya askar-askar Raden Wijaya hanya membunuh 200 orang askar pengiring sahaja. Dalam pertempuran dengan Kediri, askar-askar Raden Wijaya diletakkan di belakang sebagai pasukan sokongan tetapi yang sebenar-benarnya melawan askar-askar Kediri adalah dari 3 divisyen tentera Monggol.
Setelah itu Raden Wijaya mendirikan kerajaan Majapahit di tahun 1293. Walaupun Raden Wijaya dikatakan berjaya "mengusir" tentera Monggol namun sebenarnya beliau mengambil kesempatan di atas kemenangan tentera Monggol yang mengalahkan angkatan Jayakatwang. Tentera Monggol walaupun berjaya menghukum Jawa namun yang diperangi bukannya kerajaan Singhasari yang memalukan utusan Monggol sebaliknya ialah angkatan Jayakatwang, di samping itu tentera Monggol terperdaya dengan tipu helah Raden Wijaya yang akhirnya tentera Monggol tidak menerima warkah tunduk dari Jawa.
Namun demikian sebenarnya dengan penawanan Jayakatwang dan keluarganya serta lebih 100 orang tawanan sudah memadai untuk membuktikan yang Jawa sudah ditundukkan walaupun angka korban nyawa di pihak tentera Monggol begitu besar.
Nota:
Gambar kedua adalah prasasti yang menyebut angkatan Monggol pernah berehat di Pulau Serutu.
Sumber tulisan:
Megat Hisemudin Megat Kasim