15/06/2026
15 Jun 2026 | WTCKL, Kuala Lumpur
Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) telah menganjurkan Majlis Penghargaan dan Makan Malam Skuad Sepaktakraw Kebangsaan sebagai tanda penghargaan kepada para pemain dan pegawai pasukan yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa menerusi kejayaan merangkul dua gelaran juara dunia dalam TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026 bagi acara Berpasukan Regu dan Kuadran.
Majlis ini diadakan bagi meraikan kejayaan luar biasa yang dicapai hasil daripada dedikasi, komitmen, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh seluruh skuad kebangsaan sepanjang kejohanan berlangsung.
Sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian tersebut, PSM telah memperuntukkan insentif kemenangan berjumlah RM120,000.00 kepada skuad kebangsaan atas kejayaan muncul juara dunia dalam kedua-dua acara tersebut. Dato’ Mohd Sumali Reduan (Presiden PSM) sendiri yang memberikan sumbangan kepada penerima.
Sebagai penaja utama PSM, Telekom Malaysia (TM) TM Group turut berkongsi kegembiraan atas kejayaan pasukan negara dengan memberikan sumbangan istimewa berupa sebuah TV Samsung 55 inci berserta langganan Unifi TV FIFA World Cup 2026 kepada setiap pemain dan pegawai pasukan bagi acara Berpasukan Regu. Selain itu, pemain yang mewakili negara dalam acara Kuadran turut menerima sebuah iPad 11 inci setiap seorang sebagai penghargaan atas kejayaan yang dilakar. Penghargaan ini telah disampaikan oleh Cik Nor Fadhilah Mohd Ali (COO, TM).
Turut sama menghargai pencapaian skuad negara, BHPetrol telah menyumbangkan 50,000 ePoints serta baucar bahan api bernilai RM1,000.00 kepada setiap penerima sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha mereka mengharumkan nama negara. Penghargaan ini telah disampaikan oleh Encik Fardzi Shah Razali, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) , BHPetrol Malaysia.
Dalam pada itu, Dato’ Abu Jimi Samat (Pengurus Pasukan) dan Encik Azril Rizal Yusof Mohd Sarit (Penolong Pengurus Pasukan) turut menzahirkan penghargaan secara peribadi dengan menyampaikan saguhati sebanyak RM1,000.00 kepada setiap pemain acara Berpasukan Regu dan RM1,000.00 kepada setiap pemain acara Kuadran.
PSM berharap penghargaan dan insentif yang diberikan ini bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap kejayaan yang telah dicapai, malah menjadi pemangkin semangat kepada seluruh pemain dan pegawai untuk terus berusaha melakar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa pada masa akan datang.
PSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Telekom Malaysia (TM) Group atas komitmen berterusan sebagai penaja utama serta sokongan padu yang diberikan dalam pembangunan dan kemajuan sukan sepaktakraw negara. Ucapan penghargaan yang sama turut ditujukan kepada BHPetrol, rakan-rakan penaja, rakan strategik serta semua pihak yang telah memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan skuad kebangsaan dan penganjuran TM ISTAF Sepaktakraw World Cup 2026.
Kejayaan ini adalah milik seluruh rakyat Malaysia dan menjadi bukti bahawa dengan kesatuan, komitmen serta sokongan padu daripada pelbagai pihak, sukan sepaktakraw negara mampu terus berdiri megah dan bersaing di peringkat dunia. 🇲🇾🏆