08/07/2026
Sekalung Penghargaan dan Setinggi-Tinggi Terima Kasih
Lebih tiga dekad menabur bakti dalam perkhidmatan awam, YBhg. Datin Paduka Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff telah mengukir legasi yang amat bermakna dalam pembangunan Hal Ehwal Islam negara.
Bermula sebagai Penolong Pengarah BAHEIS, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1992, perjalanan kerjaya beliau diteruskan di JAKIM sebagai Pegawai Perhubungan Awam, seterusnya menerajui Bahagian Hab Halal, Bahagian Kemajuan Islam, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Ketua Pengarah JAKIM dan perkhidmatan terakhir sebagai Penyelaras Hal Ehwal Halal, Jabatan Perdana Menteri. Sepanjang tempoh tersebut, beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus Hal Ehwal Islam, memajukan pensijilan halal Malaysia sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa, memperkasa institusi agama serta memperkukuh dasar dan pembangunan ummah.
Semasa menjawat jawatan Ketua Pengarah JAKIM, beliau turut menerajui pelbagai inisiatif strategik termasuk penyelarasan Mesyiarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, pembangunan pendidikan Islam, pengukuhan institusi tahfiz, podok, wakaf, penganjuran tilawah dan hafazan al-Quran, pengurusan halal dan pelbagai jawatankuasa penting di peringkat nasional. Sumbangan beliau turut terserlah di arena antarabangsa melalui penglibatan aktif dalam pembangunan piawaian halal, persidangan dunia serta pengiktirafan Malaysia sebagai peneraju ekosistem halal global.
Sesungguhnya jasa, kepimpinan, kebijaksanaan dan dedikasi YBhg. Datin Paduka akan terus terpahat sebagai inspirasi kepada seluruh warga Hal Ehwal Agama. Legasi yang ditinggalkan akan menjadi asas kepada kesinambungan kecemerlangan JAKIM dan pembangunan Hal Ehwal Islam negara.
Terima kasih atas segala jasa dan bakti. Semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan, kebahagiaan serta keberkatan yang berpanjangan dalam setiap langkah kehidupan.