25/06/2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, janganlah kita melepaskan peluang berpuasa pada hari ini iaitu 'Asyura (10 Muharram). Ia adalah antara amalan yang besar pahalanya.
Rasulullah ﷺ bersabda:
> "Puasa pada hari 'Asyura, aku berharap kepada Allah agar ia menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu."
— Riwayat Muslim, no. 1162
Apabila Rasulullah ﷺ mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyura, Baginda bersabda:
> "Kami lebih berhak terhadap Musa (Nabi) daripada mereka." Lalu Baginda berpuasa pada hari itu dan memerintahkan para sahabat agar berpuasa.
— Riwayat Al-Bukhari no. 2004 dan Muslim no. 1130
Bagi menyelisihi amalan Yahudi, Rasulullah ﷺ juga bersabda:
> "Jika aku masih hidup hingga tahun hadapan, nescaya aku akan berpuasa pada hari kesembilan (9 Muharram)."
— Riwayat Muslim no. 1134
Justeru, marilah kita berusaha berpuasa pada 9 dan 10 Muharram (Tasu'a dan 'Asyura), atau sekurang-kurangnya pada 10 Muharram. Semoga Allah menerima amalan kita dan menghapuskan dosa-dosa setahun yang lalu. Āmīn.