SALWA Wilayah Persekutuan

  • Home
  • SALWA Wilayah Persekutuan
Call

SALWA Wilayah Persekutuan Contact information, map and directions, contact form, opening hours, services, ratings, photos, videos and announcements from SALWA Wilayah Persekutuan, Non-Governmental Organization (NGO), .

Objektif utama SALWA WP adalah memperkasa wanita dan keluarga melalui peningkatan ilmu, kecerdasan, dan daya fikir dalam memahami Islam serta menangani isu semasa, dengan menggalakkan dakwah progresif.

🌷 BENGKEL KEIBUBAPAAN ERA DIGITALAlhamdulillah, selesai sudah Bengkel Keibubapaan Era Digital yang berlangsung pada hari...
06/09/2026

🌷 BENGKEL KEIBUBAPAAN ERA DIGITAL

Alhamdulillah, selesai sudah Bengkel Keibubapaan Era Digital yang berlangsung pada hari ini, 6 September 2026 di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Kuala Lumpur.

SALWA WP turut serta membantu program anjuran WADAH dan MAIWP dengan kerjasama SALWA dan Pusat Tunas Nahdah ini.

Bengkel yang menghimpunkan penduduk PPR Cochrane dan PPR Air Panas ini memberi ruang kepada para ibu bapa untuk menambah ilmu dan kefahaman dalam membina keluarga yang sejahtera serta mendidik anak-anak menghadapi cabaran dunia digital.

Tiga pengisian utama telah dikongsikan:
🌿 Minda Sejahtera Keluarga Bahagia
🌿 Mendidik Anak Generasi Digital
🌿 Strategi Pencegahan dan Kawalan Akses Pornografi.

Terima kasih kepada semua penceramah, urus setia, para peserta serta semua pihak yang telah menjayakan program ini.

Semoga ilmu yang diperoleh menjadi panduan untuk membina keluarga yang lebih sejahtera, anak-anak yang lebih terlindung dan generasi yang berakhlak serta bijak menghadapi cabaran zaman.

Keluarga diperkasa, anak-anak dilindungi, generasi masa depan dibina. 💗






05/09/2026
05/09/2026

YOGA: SATU PELANGGARAN SYARIAT

Yoga bermaksud kesatuan, sambungan atau penyatuan roh individu dan roh alam semesta

Senaman yoga berpunca daripada falsafah agama Hindu untuk melepaskan diri daripada lingkaran samsara, pembebasan dari karma dan mencapai ke peringkat moksha. Di samping itu juga, yoga juga bertujuan untuk menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran melalui senaman, gerakan badan dan pembacaan tertentu.

Warta Kerajaan pada 2 April 2009 memutuskan senaman yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang beramal dengannya.

KEMBALI KEPADA AGAMA ISLAM

1. Sesungguhnya manusia itu tidak dilahirkan kembali dalam bentuk yang lain, akan tetapi akan menempuhi kehidupan di alam seterusnya iaitu alam Barzakh.

حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَ أَحَدَهُمُ ٱلْمَوْتُ قَالَ رَبِّ ٱرْجِعُونِ ٩٩ لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًۭا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ ١٠٠

Bermaksud: (Demikianlah keadaan orang kafir itu) sehingga apabila datang kematian kepada seseorang dari mereka, dia berkata: Ya Tuhanku, kembalikanlah aku (ke dunia) agar aku dapat melakukan amalan soleh terhadap apa yang telah aku tinggalkan. Tidak, sesungguhnya itu adalah perkataan yang diucapkan­nya saja dan di hadapan mereka ada alam Barzakh sampai hari mereka dibangkitkan. - Surah al-Mukminum: 99 - 100

2. Ketenangan jiwa dan kekuatan spiritual datang daripada sumber yang tenang iaitu mengingati Pencipta yang Maha Esa. Hati ini akan tenang dengan berzikir kepada Allah SWT dan inilah cara digariskan buat umat Islam.

ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ ٢٨

Bermaksud: Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah SWT). Ketahuilah dengan zikrullah itu memberi ketenangan hati. - Surah al-Ra'du: 28

Puatan Warta Kerajaan berkaitan senaman Yoga adalah seperti berikut:
https://efatwa.muftiwp.gov.my/fatwa/56a4f2f0256f10aa219b8676eca1bb52

PERINGATAN: Semua umat Islam hendaklah mematuhi sebarang bentuk ketetapan hukum yang telah diputuskan. Sebarang pelanggaran boleh diambil tindakan di bawah Akta 559. Dinasihatkan kepada masyarakat awam berwaspada dengan sebarang aktiviti atau senaman yang mempunyai unsur-unsur kepercayaan agama lain, mistik dan bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.



04/09/2026

Anugerah Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1448H/2026



04/09/2026

SIDDIQ FADZIL: MENSYUKURI NIKMAT (KEMERDEKAAN), MENGINSAFI AMANAT.

Bagi orang yang memahami makna dan harga kemerdekaan, 31 Ogos adalah tarikh istimewa. Justeru, pada hari itulah tercapainya cita- cita yang telah diperjuangkan turun-temurun sejak entah berapa keturunan.

Sejarah merdeka bukan baru bermula pada pertengahan abad 20. Perjuangan heroik melawan penjajah sudah bermula seawal abad ke-16M dengan perang Melaka-Portugis. Sejak itulah darah dan air mata perjuangan tidak pernah berhenti mengalir.

Tidak siapa berdaya menaksir berapa kawah darah yang tumpah dan berapa telaga air mata derita yang mengalir demi mempertahankan atau mendapatkan kemerdekaan. Harga kemerdekaan memang mahal tak ternilai, dan kerana itu harus dihargai secara yang benar-benar bermakna.

Bagi umat beragama kemerdekaan adalah nikmat kurnia Tuhan lang wajib disyukuri dengan cara yang diredai dan disenangi penganugerahnya.

Mensyukuri nikmat sebagaimana yang diajar oleh agama ialah menggunakannya dengan cara yang benar, dan tidak menyalahgunakannya.

Dalam konteks nikmat kemerdekaan ia harus disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya.

Mudah-mudahan roh para pejuang yang gugur, bahagia dalam peristirehatan apabila pengorbanan dan perjuangan mereka menghasilkan umat merdeka yang benar-benar merdeka.

Dengan semangat syukur nikmat sempena berlalunya setengah abad kemerdekaan, kita bermuhasabah, menilai diri, sudah sejauh mana kehidupan kita sebagai bangsa telah menepati makna merdeka.

Islam dan Makna Merdeka

Islam pada hakikatnya adalah agama pembebasan. Mesej liberatif-emansipatif agama Ilahi ini jelas terungkap dalam misi utamanya ikhraju ‘n-nasi mina ‘z-zulumat ila ‘nur.

Dengan kata lain, risalah Islamiah dapat dirumuskan sebagai misi pembebasan dan pencerahan (tahririy-tanwiriy). Kerana itu kehadiran Islam dan gerakan pendakwahannya di mana-mana selalu dirasakan sebagai a liberating and enlightening force.

Demikianlah citra agama ini di mata kaum peribumi rantau Melayu ketika berlakunya transformasi kemanusiaan dan revolusi kebudayaan dalam gerakan pengislaman yang memesat pada abad ke-13-16M.

Ternyata pembebasan dalam konteks misi keislaman mencakupi bidang yang cukup luas, meliputi pembebasan daripada segala bentuk pembelengguan termasuk kemerdekaan daripada penjajahan.

Memang al-zulumat adalah kata yang jami’ dan inklusif meliputi segala rupa bencana kemanusiaan: kesesatan, kebingungan, kejahilan, kebodohan, kebekuan, kemunduran, kebejatan, kegilaan, kezaliman, kecurangan dan lain-lain sejenisnya.

Umat Islam harus dibebaskan dan dimerdekakan daripada segala bencana tersebut.

Pembebasan (tahrir) dalam konteks misi pengislaman selamanya tidak terpisah daripada pencerahan (tanwir). Apalah erti bebas daripada suatu kegelapan, jika kemudiannya dijerumuskan ke dalam kegelapan yang lain.

Demikianlah hakikat bermulanya transformasi pengislaman dengan deklarasi kemerdekaan diri menerusi lafaz kesaksian syahadat ketauhidan la ilaha illallah yang membawa implikasi ketidakrelaan tunduk mengabdi kepada siapa pun dan apa pun selain Tuhan Yang Maha Esa.

Sebagaimana yang diungkapkan oleh al-Shaykh Muhammad al-Ghazaliy bahawa kalimat tauhid itu membawa implikasi penafian terhadap segala bentuk keberhalaan dan penolakan terhadap segala jenis pengabdian di bumi dan penegasan terhadap hak kebebasan (Muhammad Al-Ghazali, 2000:36).

Justeru, manusia mukmin adalah manusia berjiwa merdeka yang sedar dengan ketinggian martabat keinsanannya, setia memelihara pesan, Innahu laysa li al-mu’min an yudhilla nafsah (Sungguh, tidak seharusnya seorang mukmin menghina dirinya sendiri).

Semangat kemerdekaan tahririy-taghyiri-tanwiriy itulah yang tampaknya ditangkap dengan tepat oleh Za'aba ketika merumuskan makna merdeka sebagai perubahan,

“... daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menyuburkan dia; daripada I’tiqad-I’tiqad yang serong dan terpesong kepada I’tiqad yang subur dan merdeka: daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesalehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”

Merdeka Berdasarkan Prinsip Karamah Insaniyyah

Merdeka pada hakikatnya adalah bahagian daripada kemanusiaan itu sendiri, sesuai dengan kurnia takrim dari Yang Maha Pencipta untuk makhluk jenis manusia seluruhnya.

Kemuliaan yang diperoleh langsung dari Tuhan itu bukan deklarasi kosong, tetapi sarat dengan erti dan implikasi: kemerdekaan, kebebasaan, persamaan dan sejumlah hak serta keperluan asasi lainnya: yang tanpanya manusia kehilangan kemanusiaannya.

Kerana itu manusia yang sedar dengan ketinggian martabat, maruah dan harga diri insan sebagai makhluk mulia memiliki kepekaan yang cukup tinggi terhadap apa jua gejala penghinaan terhadap manusia, baik dirinya sendiri atau manusia lain.

Manusia yang berasa mempunyai maruah keinsanan tidak akan rela kemerdekaannya dirampas, kebebasannya dibelenggu dan apa sahaja perlakuan yang meremehkan kemanusiaannya. Ternyata kemerdekaan terkait erat dengan maruah.

Bagi manusia merdeka, maruah adalah milik termahal yang sentiasa dijaga dan dipelihara dengan penuh rasa cemburu. Kerana itu p**a manusia merdeka tidak dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, kehidupan yang tidak bermoral, kehidupan yang cemar dengan amalan keji dan jijik seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, pemerasan, kepura-puraan, ampu bodek dan lain-lain sejenisnya.

Lain halnya dengan hamba abdi yang diperlakukan bagaimana sekalipun – dihina, dibelenggu dan dimalukan, mereka tidak berasa malu dan tidak berasa kehilangan maruah kerana memang mereka tidak memiliki maruah.

Demikianlah, manusia berjiwa merdeka adalah manusia yang sedar dan peka dengan ‘izzat al-nafs atau maruah, harga diri dan kemuliaan martabat keinsanannya. Kesedaran dan kepekaan itulah yang memberinya rasa malu dan tahu malu. Rasa malu terkait dengan dignity seperti itulah yang dijelaskan oleh Syed Hussein Alatas.

What is meant here by the sense of shame is not shame associated with private and individual relations but a shame associated with the collectivity, with the conditions of one's fellow men. It is directed at elements threatening human welfare and dignity. ‘lt is undignified to have a dirty surrounding. It is undignified to live in a disorderly and haphazard manner. It is undignified to be subjected to petty corruption and rude treatment. It is undignified to be cheated of your rights. It is undignified to be governed by men with criminal minds, men who spend most of their time plotting to cheat and plunder the state.’ (Alatas, S.H., 1999: 113-114).

Majalah antarabangsa NEWSWEEK, 23 Julai 2007 memuatkan tulisan Melinda Liu berjudul Politics of shame pada halaman utama Periscope.

Makalah pendek tersebut mengulas hukuman mati yang dijatuhkan ke atas Zheng Xiaoyu, bekas ketua sebuah agensi kerajaan China, SFDA (State Food and Drug Administration), atas kesalahan meluluskan ubat-ubatan yang tidak diuji (untested) sehingga mengakibatkan kematian tidak kurang 10 orang.

Kelulusan tersebut diberikan dengan bayaran (rasuah) $850,000. Kesalahan sedemikian membawa hukuman mati kerana kesan buruknya yang memalukan agensi berkenaan. Seperti yang dinyatakan oleh jurucakap pihak berkuasa Beijing, “Zheng has brought “shame” to his agency.”

Mengenai kepentingan malu dalam masyarakat dan budaya Cina, makalah tersebut menyatakan,

“Shame has always been a powerful force in China. Rooted in Confucian ethics, it often drives Chinese leaders to dispense tougher justice than is meted out for less-embarrassing crimes”
Begitu tingginya tahap “tahu malu”" di kalangan mereka sehingga apabila seseorang disoal-siasat atas dugaan rasuah, cukup untuk menyebabkannya membunuh diri seperti yang dilakukan oleh seorang bekas ketua polis pada bulan Jun lalu. (NEWSWEEK, 23 Julai 2O07: 4).

Sifat malu sebenarnya menempati posisi teras dalam ajaran moraliti Islam, dan lebih daripada itu ia adalah manifestasi iman. Hadith dari Imam Malik menyebut, “setiap agama memiliki akhlaq, dan akhlaq Islam adalah malu" (likulli din khuluq, wa khuluq al-Islam al-haya”).
Dalam Hadith lain disebut p**a “malu adalah sebahagian daripada iman” (al-haya’min al-iman). Sifat malu yang tumbuh dari iman itu adalah sebahagian daripada disiplin dalaman yang dapat mengawal perilaku seseorang.

Apabila Tuhan sendiri mendeklarasikan martabat kemuliaan insan, ...dan sesungguhnya Kami memuliakan anak-anak Adam, bererti semua manusia sama mulianya, sama martabat keinsanannya, sama hak-hak kemanusiaannya, sama merdekanya dan sama bebasnya. Dari takrim ketuhanan itulah lahirnya dua prinsip utama yang sangat erat hubungannya: prinsip kebebasan (kemerdekaan) dan prinsip persamaan kemanusiaan.

Seseorang itu tidak dapat dikatakan merdeka jika ia tidak mendapat pelayanan sebaik yang diterima oleh orang lain.

Bagaimana mungkin kita dapat mengatakan seseorang itu merdeka andainya masih terbelenggu dalam sistem dan budaya hidup berkasta-kasta, masih mengamalkan feudalisme - baik feudalisme lama atau feudalisme baru, masih ada kelas atasan yang diistimewakan dan kelas bawahan yang didiskriminasikan.

Merdekakah “orang kecil” seperti yang diperikan oleh seorang kiyai budayawan Indornesia, K.H.A. Mustofa Bisri dalam puisinya

“ORANG KECIL ORANG BESAR”.

Orang kecil jika ikhlas diperas
Jika diam ditikam

Jika protes dikentes
Jika usil dibedil.

Orang kecil jika hidup dipersoalkan
Jika mati tak dipersoalkan

Lebih baik jadilah orang besar
Bagiannya selalu besar.

Orang besar jujur-tak jujur makmur
Benar-tak benar dibenarkan
Zalim-tak zalim dibiarkan.

Orang besar boleh bicara semaunya
Orang kecil paling jauh dibicarakan saja.

Orang kecil jujur dibilang tolol
Orang besar tolol dibilang jujur
Orang kecil berani dikata kurangajar
Orang besar kurangajar dikata berani

Orang kecil mempertahankan hak
disebut pembikin onar
Orang besar merampas hak
disebut pendekar.

Prinsip persamaan kemanusiaan inilah yang ditegakkan oleh Rasulullah s.’a.w. sebagaimana yang terakam dalam sunnahnya - sabda dan amal nyata. Pada zamannya para penguasa rata-rata membina citra diri mereka sebagai maharaja keturunan dewa berasal daripada dunia indera.

Motif penciptaan imej yang menggerunkan seperti itu ialah untuk menjadikan rakyat jelata berasa kerdil dan hina diri. Pada suatu ketika seorang a'rabiy dibawa mengadap Nabi (s.’a,w.). Akibat terbiasa membayangkan imej para penguasa seperti di atas, a'rabiy tersebut kelihatan terketar-ketar ketakutan.

Junjungan s.’a.w. yang cukup mengerti kenapa keadaannya menjadi seperti itu segera menenangkannya dengan berkata.

“Bertenanglah, saya bukan maharaja, saya adalah anak seorang wanita Quraysh yang biasa makan daging kering”.

Cara pengenalan diri seperti itu mengesankan sikap tawadhu'nya kepada Allah dan sekaligus rasa kedekatannya dengan umat.

Junjungan s.’a.w menisbahkan dirinya kepada ibunya yang bercitra wanita rakyat biasa, tidak kepada datuk-datuknya yang bangsawan dan pembesar Quraysh. Demikianlah cara pengenalan diri yang mengesankan persamaan kemanusiaan.

Banyak peristiwa lain lagi yang membawa mesej yang sama, termasuk kejadian tertangkapnya seorang wanita yang melakukan kesalahan mencuri. Kabilah wanita tersebut cuba melobi al-Rasul s.’a.w. agar membebaskannya daripada hukuman dengan alasan wanita tersebut termasuk golongan bangsawan dalam kabilahnya.

Peristiwa itulah yang melatari sabda Junjungan s.’a.w. yang mencerminkan ketegasan dalam penegakan prinsip persamaan kemanusiaan,

”Sesungguhnya telah hancur umat sebelum kamu (akibat amalan diskriminatif) apabila orang besar mencuri mereka biarkan, tetapi apabila orang kecil mencuri mereka hukum. Demi Allah, andainya (anakku) Fatimah binti Muhammad itu mencuri, nescaya aku potong tangannya”.

Komitmen terhadap prinsip persamaan kemanusiaan diteruskan oleh para khalifah penggantinya seperti yang dilakukan oleh Khalifah Kedua, Amir al-Mu’minin ‘Umar ibn al-Khattab r.’a. terhadap anak Gabenor Mesir (‘Amr ibn al-‘as) yang memukul seorang Qibtiy semata-mata kerana ia (Qibtiy) telah memotongnya dalam satu perlumbaan.

Khalifah telah menjatuhkan hukuman qisas ke atas anak gabenor tersebut. Ketika pihak yang bersalah memprotes atas alasan ketidaksamarataan taraf , ‘Umar al-Khattab menjawabnya dengan nada yang cukup tegas,

“Sejak bila kalian memperhambakan manusia, walhal semua mereka telah dilahirkan oleh ibu-ibyu mereka sebagai anak-anak merdeka!”.

Peristiwa lain yang juga banyak dirujuk dalam isu persamaan kemanusiaan ialah hukuman qisas yang dijatuhkan oleh ‘Umar ibn al-Khattab keatas Jabalah ibn al-Ayham. Raja Ghassan itu didapati bersalah kerana memukul seseorang (orang awam) yang secara tidak sengaja terpijak pakaiannya.

Jabalah juga membantah hukuman qisas, undang-undang yang menyamakan raja dengan jelata. Sebagai raja yang berasa darahnya lebih istimewa, beliau tidak mahu disamakan dengan rakyat biasa. Bantahan itulah yang dijawab oleh ‘Umar (r.’a.) dengan satu lagi ungkapan yang cukup mengesankan, “Tetapi Islam telah menyamakan kamu berdua.”

Demikianlah, kemerdekaan yang benar-benar bererti bagi orang kecil ialah apabila hak-haknya sebagai manusia mulia dihormati, sama seperti orang lain.

Tetapi andainya masih berlaku amalan penghakiman diskriminatif, pendakwaan berpilih-pilih atau seumpamanya, bererti rakyat belum memperoleh kemerdekaannya.

Memang kemerdekaan adalah bahagian daripada keinsanan. Tetapi ia bukanlah kemerdekaan yang bererti kebebasan anarkis. Kebebasan dalam Islam selamanya terkendali dalam bimbingan prinsip-prinsip hukum dan nilai-nilai akhlak.

Kerana itu sebagaimana yang disebut oleh al-Sakhawiy, “Islam memberikan kebebasan kepada manusia, dan sekaligus mengawalnya: dengan nilai akhlak agar tidak terlajak, dengan keadilan agar tidak menjadi pelaku kezaliman. dengan kebenaran agar terhindar dari tarikan nafsu kebatilan, dengan kebaikan dan pengorbanan agar tidak bersikap egois annaniyah kesombongan, ...” (al-Zuhayliy, 2000:41).

Dipetik daripada buku "Mensyukuri nikmat menginsafi amanat : sempena 50 tahun merdeka", yang diterbitkan pada tahun 2007. Allahyarham Ustaz Dato’ Dr Siddiq Fadzil telah meninggal dunia pada 31 Ogos 2021.




04/09/2026
02/09/2026
31/08/2026

Erti Merdeka Menurut Islam
Dalam Islam, merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan manusia,
tetapi lebih dalam daripada itu: bebas daripada menjadi hamba kepada selain Allah.

Allah berfirman:
إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
“Hanya kepada-Mu kami menyembah, dan hanya kepada-Mu kami memohon pertolongan.”
— Surah al-Fatihah: 5

1. Merdeka daripada syirik
Merdeka yang paling tinggi ialah apabila hati tidak tunduk kepada makhluk sebagai Tuhan. Kita hanya menyembah Allah.
Tadabur:
Badan kita mungkin hidup dalam sebuah negara yang merdeka, tetapi hati belum benar-benar merdeka jika masih bergantung mutlak kepada selain Allah.

2. Merdeka daripada hawa nafsu
Orang yang bebas bukan orang yang melakukan apa sahaja yang dia mahu. Sebaliknya, orang yang merdeka ialah orang yang mampu mengawal kehendak dirinya apabila kehendak itu bertentangan dengan perintah Allah.
Allah berfirman:
وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَىٰ ۝ فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَىٰ
“Dan dia menahan dirinya daripada menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat tinggalnya.” — Surah an-Nazi‘at: 40–41

3. Merdeka daripada perhambaan dunia
Harta, pangkat, pujian manusia dan kedudukan semuanya boleh menjadi “tuan” kepada manusia jika hati terlalu mengejarnya.
Merdeka bukan tidak memiliki dunia, tetapi dunia tidak memiliki hati kita.
Kita memiliki harta, tetapi harta tidak memperhambakan kita.
Kita mempunyai pangkat, tetapi pangkat tidak menjadikan kita sombong.
Kita menerima pujian, tetapi kita tidak hidup untuk pujian manusia.

4. Merdeka daripada takut kepada manusia
Seorang mukmin belajar meletakkan takut kepada Allah di atas takut kepada makhluk.
Apabila kita yakin bahawa rezeki, kemuliaan, kehidupan dan kematian berada dalam ketentuan Allah, hati menjadi lebih berani melakukan kebenaran.

5. Merdeka dengan menjadi hamba Allah
Ini paradoks yang sangat indah dalam Islam:
Semakin seseorang benar-benar menjadi hamba Allah, semakin merdeka jiwanya daripada makhluk.
Sebab itu kalimah syahadah bermula dengan:
لَا إِلٰهَ إِلَّا اللهُ
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
Seolah-olah seorang Muslim berkata:
“Aku tidak mahu menjadi hamba kepada nafsuku, harta, pangkat, manusia atau dunia. Aku memilih menjadi hamba Allah.”

🌺 Kesimp**an tadabur
Merdeka menurut Islam ialah:
Merdeka akidahnya daripada syirik,
merdeka hatinya daripada hawa nafsu,
merdeka fikirannya daripada kebatilan,
merdeka jiwanya daripada takut kepada manusia,
dan akhirnya menjadi hamba Allah yang sebenar.
Jadi, kemerdekaan negara menjaga kebebasan tanah air, tetapi kemerdekaan iman menjaga kebebasan jiwa.
Dan kemerdekaan yang paling besar ialah apabila lidah mengucapkan “لا إله إلا الله” dan hati benar-benar hidup dengan makna kalimah itu .

31/08/2026
🇲🇾 “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” membawa makna bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan, ...
31/08/2026

🇲🇾
“Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”
membawa makna bahawa kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan,
tetapi sebuah amanah untuk membina negara yang maju, aman, adil dan sejahtera,
dengan manfaat pembangunan dapat dirasai oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.

Marilah kita bersama-sama memperkukuh perpaduan, saling menghormati, berganding bahu dan memainkan peranan dalam membina masyarakat yang berilmu, berakhlak serta prihatin.

Semoga Malaysia terus menjadi negara yang makmur dan sejahtera, di mana setiap rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dalam suasana harmoni dan penuh keberkatan.

MERDEKA!

Address


Opening Hours

Monday 09:00 - 17:00
Tuesday 09:00 - 17:00
Wednesday 09:00 - 17:00
Thursday 09:00 - 17:00
Friday 09:00 - 17:00
Saturday 09:00 - 17:00

Telephone

+60133316424

Website

Alerts

Be the first to know and let us send you an email when SALWA Wilayah Persekutuan posts news and promotions. Your email address will not be used for any other purpose, and you can unsubscribe at any time.

Shortcuts

  • Want your organization to be the top-listed non profit organization?

Share