27/11/2025
Menjelang PRN Sabah 29/11/2025
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kita sedar bahawa akan ada banyak parti yang bakal turun bertanding. Seperti kebiasaan setiap lima tahun, rakyat akan menyaksikan perubahan sama ada pada peringkat calon DUN ataupun pada pembentukan kerajaan yang baharu. Inilah lumrah dalam sistem negara demokrasi yang kita amalkan.
Dalam PRN kali ini, kita melihat ramai calon lama kembali menawarkan diri, dan tidak kurang juga calon yang baharu. Kita bukan menidakkan kebaikan, pengalaman, atau jasa calon-calon lama. Mereka telah memberi sumbangan dalam kapasiti mereka tersendiri. Namun dalam masa yang sama, kita juga perlu memberi ruang kepada idea-idea segar daripada calon-calon baharu.
Generasi sudah berubah, dan masalah masyarakat juga berubah. Maka, penyelesaian yang ditawarkan mestilah selaras dengan perubahan zaman serta keperluan generasi hari ini. Apa yang pernah berkesan dahulu belum tentu sesuai untuk masa kini.
Di tengah-tengah perubahan ini, timbul p**a kejanggalan apabila melihat fenomena pemilihan calon daripada kalangan adik-beradik, suami-isteri, atau keluarga terdekat. Hal ini menunjukkan bahawa unsur nepotisme masih berlaku. Kita perlu bertanya kepada diri sendiri: Inikah demokrasi yang kita mahukan?
Lebih membingungkan, terlalu banyak parti politik muncul dalam suasana politik semasa. Sukar untuk membezakan sama ada mereka benar-benar mahu memperjuangkan kesejahteraan rakyat, atau sekadar berebut kuasa demi kepentingan sendiri.
Akhirnya, untuk keluarga, sahabat serta teman-teman, kita mungkin berbeza pendapat dan mungkin juga bergaduh sepanjang musim pilihan raya. Namun bila tiba hari mengundi walau ribut sekalipun melanda, kita undilah dengan matang dan bijaksana. Kerana keputusan kita hari ini menentukan kesejahteraan kita untuk lima tahun yang akan datang.