23/04/2026
Pada 18 April 2026 (Sabtu), Majlis Daerah Tangkak dengan kerjasama Yayasan Makmur Tangkak telah menganjurkan Kejohanan Badminton Terbuka Tangkak 2026 bagi kategori beregu lelaki sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi DYMM Sultan Johor.
Program yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim,Tangkak ini berjaya menarik penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemain tempatan dan luar daerah, sekali gus memeriahkan lagi suasana dengan semangat kesukanan yang tinggi.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta telah mempamerkan aksi yang kompetitif, berdisiplin serta penuh semangat juang. Selain menggalakkan gaya hidup sihat, penganjuran ini juga menjadi medium terbaik dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara komuniti setempat.
Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Encik Fakhruddin bin Shariff, Setiausaha Majlis Daerah Tangkak. Turut hadir ialah Tuan Haji Arifuddin bin Wagiman dan Encik Ong Chee Siang selaku wakil Ahli Majlis. Kehadiran para tetamu kehormat ini telah menyerikan lagi majlis penutup serta memberi penghargaan kepada para pemenang dan peserta yang terlibat.
Secara keseluruhannya, kejohanan ini telah berlangsung dengan lancar dan jayanya hasil kerjasama erat antara pihak penganjur, peserta serta sokongan padu daripada komuniti setempat. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha melahirkan masyarakat yang aktif, sihat dan bersatu padu.