04/04/2026
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh & Salam Sejahtera.
Di kala takbir raya masih bergaung di sanubari dan bahang kegembiraan Syawal masih terasa, Koperasi Qaryah Masjid Umar Ibnu Al-Khattab Berhad telah melukis satu lagi lakaran sejarah yang amat bermakna.
Alhamdulillah, Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Kali Pertama telah selamat berlangsung dengan penuh tertib dan mahabbah pada 28 Mac 2026 yang bertempat di Hotel Pen Mutiara, Pulau Pinang
Pertemuan ini bukan sekadar mesyuarat rasmi, malah ia menjadi medan silaturahim yang menyatukan hati kita semua. Di celah-celah perbincangan usul dan agenda, terpancar kemanisan ukhuwah, yang jauh didekatkan dan yang dekat kian erat tautannya.
Pihak pengurusan koperasi ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tuan Mohamed Fahrurazi Bin Mohamed Nor, Ketua Penolong Pengarah, Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang atas kesudian meluangkan masa untuk hadir dan menyempurnakan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan kami yang pertama. Kehadiran dan amanat yang diberikan oleh Tuan sangat bermakna bagi kami sebagai titik permulaan perjalanan koperasi ini.
Dalam kesempatan ini juga, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Hayati Binti Fee, Pembantu Ehwal Ekonomi Kanan dari Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Pulau Pinang atas kehadiran beliau untuk memantau dan membimbing bagi memastikan mesyuarat ini berjalan lancar dan mengikut peraturan yang ditetapkan.
Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua anggota yang hadir memberikan komitmen serta perhatian yang sepenuhnya. Semoga segala perancangan yang dipersetujui mendapat keberkatan daripada-Nya dan membawa kemaslahatan buat kita semua.
Majlis turut diserikan dengan acara yang dinanti-nantikan iaitu Cabutan Bertuah. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua anggota yang berjaya membawa pulang pelbagai hadiah menarik! Semoga hadiah tersebut menjadi pemangkin semangat untuk terus menyokong agenda pemerkasaan ekonomi qaryah kita.
Bagi yang lain, penyertaan dan kehadiran anda adalah anugerah terbesar bagi kami.
Pihak koperasi ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyumbang dan penaja utama kami:
▪️F&N
▪️Pengurusan Hotel Pen Mutiara
▪️Para penyumbang perseorangan yang telah memberikan sumbangan ikhlas sama ada dalam bentuk material mahupun sokongan moral.
Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi baik tuan-tuan dan puan-puan. Semoga sumbangan tersebut menjadi amal jariah yang berpanjangan dan diberkati-Nya.
Sumbangan dan kerjasama erat daripada pihak tuan-puan telah melancarkan lagi perjalanan majlis ini serta menyerikan suasana sambutan buat para anggota. Semoga kerjasama ini diberkati dan berterusan di masa hadapan.
“Ibarat aur dengan tebing, begitulah kita berpaut;
Ibarat seikat lidi, begitulah kita kuat.”
Tulus Ikhlas Drp:
Pengerusi & ALK KOOP QMUIAK BERHAD.