27/11/2025
❤️❤️🫶🏻🫶🏻
ANAK TUN STEPHENS SEDIA TERUSKAN LEGASI, PEJUANG HAK NEGERI
Kudat - Fauziah Tun Fuad Stephens mungkin wajah baharu dalam gelanggang politik, tetapi kemunculannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan misi yang cukup besar - memperjuangkan hak negeri.
Dalam temu bual bersama Astro Awani baru-baru ini, Fauziah berkata beliau tekad memperjuangkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Dalam masa sama, calon Parti Warisan (Warisan) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bengkoka itu tidak menolak meneruskan legasi bapanya, Allahyarham Tun Fuad, yang merupakan antara tokoh utama pembentukan Malaysia.
"Kami bukan mahu bergaduh atau menimbulkan masalah kepada sesiapa, tetapi apa yang kami lakukan sekarang adalah untuk memastikan Sabah dan rakyatnya mendapat apa yang telah dipersetujui dalam perjanjian yang dibuat pada tahun 1963.
"Maka Kerajaan Persekutuan mesti mengambil tindakan dengan mematuhi perjanjian yang telah ditandatangani dan dipersetujui pada tahun 1963," katanya.
Allahyarham Fuad yang digelar sebagai Bapa Kemerdekaan Sabah atas jasa dalam rundingan pembentukan Malaysia pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sabah pertama dari 1963 hingga 1964 dan juga yang kelima pada 1976.
Allahyarham juga pernah menjadi Yang di-Pertua Negeri Sabah ketiga dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia yang keenam.
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dan Diploma Perguruan dari Melbourne State College, Australia, Fauziah menambah selagi hak itu tidak dipulangkan, ia sukar untuk rakyat Sabah merasa benar-benar sebahagian daripada Malaysia.
Ditanya mengenai persepsi masyarakat yang melihatnya sebagai pewaris kepada legasi Allahyarham Fuad, beliau yakin rakyat menilai dirinya berdasarkan kemampuan dan rekod kerjanya sendiri, bukan semata-mata kerana nama bapanya.
"Tetapi saya telah melakukan banyak kerja sukarela atas kapasiti saya sendiri, bukan setahun dua, tetapi lebih 10 tahun. Jadi mereka tahu siapa saya, dan mereka tahu apa pendirian saya.
"Menjadi sebahagian daripada parti politik kini hanyalah satu langkah bagi saya untuk mendapatkan lebih banyak bantuan dalam meneruskan kerja sukarela untuk rakyat," ujar wanita berusia 67 tahun itu.
Selain itu, Fauziah menggariskan lima pelan tindakan untuk DUN Bengkoka, jika beliau diberikan mandat pada PRN Sabah ke-17.
Ia melibatkan penubuhan daerah kecil Bengkoka dan membina pekan baharu moden; memperkukuh ekonomi dan pertanian rakyat; pendidikan untuk semua peringkat; serta komuniti yang prihatin dan sejahtera.
Dalam masa sama, memastikan infrastruktur dan hubungan yang cekap termasuk jalan raya yang baik, air bersih dan elektrik untuk semua kampung.
Pada PRN Sabah ke-17, kerusi DUN Bengkoka menyaksikan saingan 11 penjuru.
SUMBER: ASTRO AWANI.