25/09/2026
BILA SENAMAN BERSENTUHAN DENGAN AKIDAH
“Yoga kan cuma senaman?”
Soalan ini mungkin pernah bermain dalam fikiran kita.
Nampak orang buat yoga, kita nampak mereka melakukan regangan, duduk bersila, kawal pernafasan dan cuba menenangkan fikiran.
Secara zahirnya, memang nampak seperti aktiviti fizikal biasa.
Tetapi dalam Islam, ada satu perkara yang kita perlu faham.
Tidak semua perkara yang nampak seperti senaman semata-mata boleh dinilai berdasarkan pergerakan fizikalnya sahaja.
Kadang-kadang, di sebalik sesuatu amalan fizikal itu terdapat fahaman, falsafah, ritual atau unsur keagamaan tertentu.
Sebab itu umat Islam perlu berhati-hati. Islam tidak menghalang kita daripada bersenam. Tetapi kerana akidah ialah perkara yang sangat besar dalam kehidupan seorang Muslim.
SEBENARNYA, APA ITU YOGA?
Yoga bermaksud kesatuan, sambungan atau penyatuan roh individu dengan roh alam semesta. Senaman yoga berpunca daripada falsafah agama Hindu. Antara tujuannya adalah untuk melepaskan diri daripada lingkaran samsara, pembebasan daripada karma dan mencapai peringkat moksha.
Selain itu, yoga juga bertujuan untuk menyatukan diri dengan tuhan melalui pengheningan fikiran yang dilakukan menerusi senaman, gerakan badan dan pembacaan tertentu.
Jadi, apabila kita bercakap tentang yoga, kita perlu melihatnya dalam konteks yang lebih luas. Ia bukan sekadar persoalan “Tak boleh ke buat stretching?”
Tetapi persoalannya ialah “Adakah aktiviti yang dilakukan itu hanya senaman fizikal, atau turut mengandungi unsur keagamaan dan kepercayaan yang bertentangan dengan Islam?”
Di sinilah pentingnya ilmu.
Sebab kadang-kadang sesuatu amalan nampak biasa pada mata kita, tetapi mempunyai latar belakang dan makna tertentu yang perlu difahami terlebih dahulu.
BILA SENAMAN SUDAH ADA UNSUR KEAGAMAAN
Warta Kerajaan pada 2 April 2009 telah memutuskan bahawa senaman yoga yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang beramal dengannya.
Perhatikan baik-baik.
Yang menjadi perhatian bukan semata-mata pergerakan fizikal. Tetapi apabila senaman itu digabungkan dengan unsur keagamaan, pemujaan atau kepercayaan tertentu, ia menjadi perkara yang perlu dijauhi oleh umat Islam. Jadi, jangan mudah melihat sesuatu hanya pada luaran.
“Tak nampak pun unsur agama.”
“Cuma duduk dan tarik nafas.”
“Cuma ikut gerakan.”
Dalam perkara yang melibatkan akidah, kita perlu lebih berhati-hati. Kita tidak mahu sesuatu yang bermula sebagai aktiviti fizikal akhirnya membawa kita kepada fahaman yang bercanggah dengan pegangan Islam.
ISLAM SUDAH AJAR CARA MENCARI KETENANGAN
Manusia memang mencari ketenangan. Kita mahu badan yang sihat. Kita mahu fikiran yang tenang. Kita mahu jiwa yang lapang. Sebab itu kita bersenam. Kita berjalan. Kita beriadah. Kita pergi bercuti. Kita mencari suasana yang mendamaikan. Semua itu adalah perkara yang manusiawi.
Tetapi sebagai seorang Muslim, kita perlu tahu bahawa ketenangan jiwa yang sebenar mempunyai sumbernya. Bukan dengan menyatukan diri dengan roh alam. Bukan dengan mencari kekuatan spiritual melalui kepercayaan yang bercanggah dengan tauhid. Tetapi dengan kembali mengingati Allah SWT.
Allah SWT berfirman:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ ٱللَّهِ ۗ أَلَا بِذِكْرِ ٱللَّهِ تَطْمَئِنُّ ٱلْقُلُوبُ ٢٨
Bermaksud:
“Orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah (mengingati Allah SWT). Ketahuilah dengan zikrullah itu memberi ketenangan hati.”
[Surah al-Ra'd: 28]
Bila hati terasa berat, jangan hanya cari ketenangan di luar. Pandang juga ke dalam hati. Sudah berapa lama kita tidak berzikir? Sudah berapa lama kita tidak membaca al-Quran dengan tenang? Sudah berapa lama kita tidak mengadu kepada Allah dalam doa?
Kadang-kadang kita terlalu sibuk mencari “healing”, sampai terlupa bahawa Allah sendiri sudah menunjukkan jalan menuju ketenangan.
JANGAN TERPEDAYA DENGAN LABEL “WELLNESS”
Zaman sekarang banyak aktiviti menggunakan istilah yang nampak moden dan menarik.
Wellness.
Mindfulness.
Spiritual healing.
Inner peace.
Energy.
Balance.
Ada yang mungkin sekadar istilah berkaitan kesihatan dan kesejahteraan.
Tetapi ada juga aktiviti yang menyelitkan unsur falsafah atau kepercayaan tertentu.
Sebab itu jangan hanya tengok nama program. Tengok juga kandungannya. Jangan kerana sesuatu itu popular, kita terus ikut. Jangan kerana ramai influencer buat, kita terus anggap semuanya selamat. Dan jangan kerana nampak “healing”, kita terus percaya ia sesuai untuk jiwa seorang Muslim.
Popular tidak semestinya patuh syariah. Yang menentukan halal haram bukan jumlah orang yang mengamalkannya, tetapi panduan Allah dan hukum syarak.
JAGA BADAN, JAGA JIWA, JAGA AKIDAH
Tubuh kita perlu dijaga. Jiwa kita perlu dirawat. Tetapi akidah kita lebih utama untuk dipelihara.
Kalau mahu bersenam, pilihlah aktiviti yang baik dan selamat. Kalau mahu menenangkan fikiran, carilah ketenangan melalui jalan yang diredai Allah. Kalau mahu kekuatan spiritual, dekatilah Allah dengan solat, doa, zikir, membaca al-Quran dan amalan soleh.
Kita tidak perlu mencari Tuhan di dalam diri atau alam. Allah SWT ialah Tuhan yang kita sembah. Kita ialah hamba-Nya. Dan ketenangan yang sebenar datang apabila hati kembali tunduk kepada-Nya.
PERINGATAN
Semua umat Islam hendaklah mematuhi sebarang bentuk ketetapan hukum yang telah diputuskan. Sebarang pelanggaran boleh diambil tindakan di bawah Akta 559.
Masyarakat awam juga dinasihatkan supaya berwaspada dengan sebarang aktiviti atau senaman yang mempunyai unsur-unsur kepercayaan agama lain, mistik dan perkara yang bertentangan dengan akidah serta syariat Islam.
Jangan sampai kita terlalu sibuk mencari tubuh yang sihat sampai terlupa menjaga iman.
Jangan sampai kita mengejar ketenangan jiwa tetapi tersalah mencari sumber ketenangan.
Dan jangan sampai sesuatu yang nampak seperti “sekadar senaman" akhirnya membawa kita kepada perkara yang bercanggah dengan akidah.
Jaga badan.
Jaga jiwa.
Jaga akidah.
Kerana seorang Muslim bukan hanya mahu hidup sihat di dunia. Kita juga mahu pulang kepada Allah dengan iman yang selamat.