04/10/2026
Mari bersama membenteras penyalahgunaan dadah di kawasan kejiranan anda!
PERKUKUH USAHA ANTIDADAH, LINDUNGI RAKYAT
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menekankan usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan yang menyeluruh bagi menangani ancaman dadah serta melindungi kesejahteraan keluarga dan komuniti.
“Menangani ancaman dadah memerlukan penglibatan menyeluruh semua pihak.”
— YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar bin Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Sehingga Jun 2026, Melaka merekodkan 4,906 orang penagih dan penyalah guna dadah, terdiri daripada 4,681 lelaki dan 225 wanita. Melaka Tengah mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 2,705 orang, diikuti Alor Gajah 1,483 orang dan Jasin 718 orang.
Seiring perubahan trend dan kemunculan bahan baharu, pendekatan menangani dadah perlu sentiasa disesuaikan dengan keperluan semasa. Kerjasama AADK, PEMADAM, Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan SKUAD Antidadah perlu terus diperkasakan agar usaha ini dilaksanakan secara bersepadu dan berkesan.
KDN turut menghargai komitmen warga kerja serta sukarelawan yang melaksanakan amanah pencegahan, rawatan dan pemulihan dadah. Bersama, kita perkukuh sokongan kepada pemulihan dan lindungi masyarakat daripada ancaman dadah.
Sumber: Ucapan YB Timbalan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Kerja Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Melaka dan PEMADAM Negeri Melaka, 3 Oktober 2026.