08/07/2021
APA PAKAR TAFSIR ULUNG UNIVERSITI AL-AZHAR KATA TENTANG TAFSIR "ISYAARI" SUFI AHLUL WAHDAH?
Kitab di lampiran ini adalah tulisan seorang ulama Tafsir ulung Universiti Al-Azhar yaitu Shaykh Dr Muhammad Husain Az-Zahabi, penulis kitab 'At-Tafsir wa Al-Mufassirun' yang menjadi antara rujukan penting bidang Tafsir hari ini.
Shaykh Dr Muhammad pada awalnya bersama para ulama yang bersangka baik kepada Ibn Arabi, namun pendiriannya berubah apabila beliau sendiri membaca kenyataan jelas Ibn Arabi dalam Futuuhaat dimana Ibn Arabi mendakwa bahawa dia dan mereka yang sealiran dengannya sengaja berbohong/bertaqiyah mengatakan bahawa tafsiran-tafsiran mereka bagi Al-Quran adalah Tafsir Isyaari sedangkan yang mereka inginkan sebenarnya adalah makna Haqiqi. Pembohongan ini mereka buat kerana bimbang ajaran sebenar mereka terbongkar dan dikesan oleh golongan yang Ibn Arabi gelar sebagai “Firaun-Firaun” (Ulama Rusum/Kulit/Zahir) zaman itu lalu mereka akan dihukum, bahkan mungkin dipancung.
Daripada pengakuan ini kita dapat faham bahawa memang ajaran beliau ditentang oleh para ulama di zamannya dan kita juga boleh kata bahawa ulama yang bersangka baik dan berusaha mentakwil kalam-kalam beliau kepada makna isyaari sebenarnya telah melakukan kesilapan berdasarkan pengakuan Ibn Arabi sendiri.
Shaykh Dr Muhammad menulis pendedahan ini didalam kitabnya yang bertajuk تفسير ابن عربي للقرآن حقيقته و خطره, ‘Tafsiran Al-Quran Ibn Arabi : Haqiqatnya dan Bahayanya’. Dalam kitab ini Shaykh menyatakan kebimbangannya akan tersebarnya sebuah kitab tafsir yang berjudul ‘Tafsir Ibn Arabi’, namun Shaykh menafikan pen*sbahan kitab itu kepada Ibn Arabi, sebaliknya Shaykh mengatakan penulis sebenar adalah Abd Razzaq Al-Qaashaani yang beliau kategorikan sebagai Sufi Batini yang melampau.
Namun walaupun beliau menafikan pen*sbahan kitab tafsir itu kepada Ibn Arabi beliau tetap mengkategorikan Ibn Arabi sebagai Sufi melampau juga berdasarkan tafsir-tafsir Ibn Arabi didalam kitab-kitab yang sabit pen*sbahan kepadanya.
Antara perkara-perkara penting lain dari kitab Dr Muhammad Husain Az-Zahabi itu :
- Tasawwuf telah menyerap banyak unsur falsafah sehingga sebahagian sufi itu lebih layak dipanggil ahli falsafah berbanding ahli sufi.
- Golongan baatiniah menyelinap masuk di kalangan ahli sufi dan berlakon zuhud serta wara’ bagi mengelirukan umat Islam.
- Tasawwuf falsafi nazari tidak selari dengan Al-Quran. Mereka yang mempertahan aliran ini biasanya menarik-narik ayat Al-Quran supaya disesuaikan dengan falsafah mereka itu.
- Ibn Arabi adalah tok guru aliran tafsir ini.
- Shaykh mengatakan bahawa Tafsir aliran Ibn Arabi ini memalingkan Al-Quran daripada tujuannya yang sebenar kepada makna yang diinginkan ahli sufi-falsafi. Apa yang mereka lakukan yaitu menarik-narik ayat Al-Quran supaya disesuaikan dengan aliran mereka adalah satu perbuatan yang buruk. Mereka sebenarnya berkhidmat kepada falsafah dan bukan kepada Al-Quran, bahkan mempergunakan Al-Quran untuk mengisbatkan aliran mereka.
- Asas falsafah ini adalah Wahdatul Wujud yang merobohkan asas-asas agama.
- Kami (kata Shaykh Dr Muhammad) ASWJ tidak menolak tingkatan kefahaman kepada kitab Allah, namun sesuatu kefahaman berkenaan Al-Quran itu mestilah berakar pada lafaz dan makna ayat serta mesti ada sokongan daripada syara’.
- Dengan mendakwa bahawa tafsiran mereka itu zauqi dan melangkaui aqal seolah-olah golongan itu cuba memaksa kita supaya menerima tafsiran zauqi mereka itu tidak kira betapa karutnya tafsiran tersebut.
- Shaykh menutup kitab kecilnya itu dengan mengatakan bahawa kitab ‘Tafsir Ibn Arabi’ adalah kitab yang menyesatkan dan wajib keatas pemerintah dimana sahaja untuk memastikan kitab itu tidak tersebar di kalangan masyarakat.
——————
Bagi yang menyokong Ibn Arabi dan mempertahankannya selama ini dengan mendakwa bahawa tafsiran-tafsiran beliau yang zahirnya menyeleweng adalah Tafsir Isyaari boleh lihat balik tafsiran-tafsiran itu dan cuba guna kacamata ‘Haqiqi’ p**a. Kalau jujur pegang dia sebagai As-Shaykh Al-Akbar maka cubalah fahami sepertimana yang beliau faham.
Kitab Shaykh Dr Muhammad boleh dimuat turun disini :
تفسير ابن عربي: حقيقته وخطره.تأليف: الدكتور: محمد حسين الذهبي