24/08/2026
KENAPA SAYA BIDA TONGKAT AYAH CHIK, TAN SRI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG?
Bukan kerana nilai sebuah tongkat, dan bukan kerana taksub kepada manusia.
Tetapi kerana ia akan menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya.
Malam tadi menjadi antara momen terindah buat saya, dapat berada dekat dengan seorang murabbi, serta dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada perjuangan PAS Melaka dan PAS Malaysia.
Namun yang paling penting, tongkat ini menjadi INGATAN KERAS kepada diri saya sendiri:
Hari ini kita masih kuat, masih mampu berjalan, mampu mendaki puncak tertinggi, mampu berlari 50KM, mampu berkayuh keliling dunia, bekerja dan berjuang.
Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya. Jika Allah panjangkan usia, suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat.
Allah SWT berfirman:
وَمَن نُّعَمِّرْهُ نُنَكِّسْهُ فِى ٱلْخَلْقِ ۖ أَفَلَا يَعْقِلُونَ
“Dan barang siapa Kami panjangkan umurnya, nescaya Kami kembalikan dia kepada keadaan lemah.”
— Surah Yasin, 36:68
Justeru, selagi Allah beri usia dan kudrat, berjuanglah walau di mana kita berada. Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu.
Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah. Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar Baginda Rasulullah ﷺ.
Dan ada satu makna peribadi yang saya jadikan ingatan daripada nilai RM16,500:
1 — Ihsan
6 — Iman
5 — Islam
00 — akhirnya dunia kita tinggalkan tanpa membawa apa-apa.
Bukan tafsiran agama terhadap angka, sekadar simbol untuk mengingatkan diri agar menjaga Islam, Iman dan Ihsan hingga akhir hayat.
Kerana akhirnya…
كُلُّ مَنْ عَلَيْهَا فَانٍۢ
“Segala yang ada di bumi itu akan binasa.”
— Surah Ar-Rahman, 55:26
Alhamdulillah. Terima kasih semua.
Sebuah tongkat, sebuah kenangan, tetapi membawa peringatan untuk sepanjang kehidupan.
Insya-Allah kita jumpa di Muktamar PAS 2026 di Kelantan. Selagi ada usia, selagi ada kudrat, teruskan berjuang.
Allahu Akbar!
Tuk Qobin
Kredit : https://www.facebook.com/share/1HJ6VRLr65/