01/06/2026
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Maju Johor.
Dengan pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor oleh YAB Menteri Besar Dato' Onn Hafiz Ghazi hari ini, izinkan saya merakamkan setulus-tulus penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga DUN Bukit Permai yang telah memberikan kepercayaan, sokongan, teguran dan doa sepanjang saya diberi amanah untuk berkhidmat.
Penghargaan yang sama turut saya rakamkan kepada seluruh penjawat awam Negeri Johor, Pegawai Tadbir Negeri Johor, ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Ahli-Ahli Majlis, agensi-agensi kerajaan, pas**an keselamatan, NGO, pemimpin masyarakat serta semua pihak yang sentiasa bersama saya dalam setiap usaha membantu rakyat dan membangunkan Bukit Permai.
Sesungguhnya, perjalanan ini tidak pernah saya lalui seorang diri.
Di sebalik setiap program, setiap usaha menyelesaikan masalah rakyat dan setiap kejayaan yang dicapai, ada ribuan wajah yang sentiasa memberi kekuatan. Ada doa seorang ibu, harapan seorang ayah, semangat anak-anak muda, keikhlasan para s**arelawan serta sokongan seluruh warga Bukit Permai yang sentiasa bersama saya.
Terima kasih kerana membuka pintu rumah untuk saya bertanya khabar.
Terima kasih kerana berkongsi cerita, memberi pandangan dan menegur saya ketika tersilap.
Terima kasih kerana sentiasa mendoakan yang terbaik.
Jika ada yang bertanya apakah perkara paling berharga sepanjang amanah ini dipikul, jawapannya bukanlah jawatan atau pencapaian. Yang paling berharga adalah peluang untuk mengenali dan berkhidmat kepada insan-insan baik di Bukit Permai.
Saya juga sedar bahawa saya hanyalah manusia biasa yang tidak pernah terlepas daripada kekurangan dan kelemahan. Jika ada tutur kata yang mengguris hati, jika ada permohonan yang belum sempat diselesaikan atau harapan yang belum mampu saya tunaikan, saya dengan penuh rendah hati memohon ampun dan maaf.
Sepanjang amanah ini dipikul, saya telah cuba memberikan yang terbaik dengan seluruh jiwa, tenaga dan kemampuan yang saya ada. Saya mungkin tidak sempurna, tetapi saya tidak pernah berhenti mencuba untuk berkhidmat sebaik mungkin kepada rakyat yang saya kasihi.
Bukit Permai bukan sekadar kawasan yang saya wakili. Bukit Permai telah menjadi sebahagian daripada hidup saya.
Andai ada satu perkara yang akan saya kenang sampai bila-bila, ia bukanlah projek yang disiapkan atau program yang dirasmikan, tetapi wajah-wajah rakyat yang saya temui sepanjang perjalanan ini. Kalianlah sebab mengapa amanah ini sentiasa saya hargai.
Kini, apabila mandat ini dikembalikan kepada rakyat, saya melakukannya dengan penuh rasa syukur dan tawaduk. Dengan rendah diri, saya memulangkan kembali amanah ini kepada parti dan kepada rakyat untuk menentukan perjalanan yang seterusnya.
Apa jua ketentuan selepas ini, kasih sayang dan penghargaan saya kepada warga Bukit Permai tidak akan pernah berubah.
Dari lubuk hati yang paling dalam, saya memohon ampun dan maaf atas segala kekurangan sepanjang saya diberi peluang berkhidmat. Sesungguhnya saya telah berusaha sedaya upaya untuk menjadi wakil rakyat yang terbaik buat Bukit Permai, walaupun saya sedar masih banyak kelemahan yang ada pada diri ini.
Terima kasih kerana pernah memberi kepercayaan kepada saya. Terima kasih kerana sentiasa bersama saya dalam setiap s**a dan duka. Terima kasih kerana menerima saya bukan sekadar sebagai wakil rakyat, tetapi sebagai sebahagian daripada keluarga besar Bukit Permai.
Sesungguhnya, jasa, doa dan kasih sayang warga Bukit Permai akan sentiasa saya kenang sampai bila-bila.
Terima kasih warga Bukit Permai.
Allah Peliharakan Sultan.
Allah Berkati Johor.
Kepada Allah Kita Berserah.
Mohd Jafni Bin Mohd Shukor