08/09/2025
......?
Masalah yang melanda sebahagian murid perguruan silat hari ini meresahkan.
Ramai yang berkejar-kejar ke gelanggang pertandingan, menagih nama dan kemasyhuran di pentas olahraga, namun alpa menyelami hakikat persilatan yang sebenar.
Baru sebulan dua menapak langkah asas di bawah perguruan, sudah pun diusung ke gelanggang olahraga bergegas ke sana sini menyertai pertandingan.
Akhirnya, mereka sekadar menjadi persilat yang diasuh untuk bertarung, tetapi kurang ditekan adab berguru, hilang jati diri seorang pendekar Melayu.
Ilmu kependekaran yang luhur kian terpinggir, diganti dengan semangat memburu kejuaraan.
Silat pusaka warisan nenek moyang perlahan-lahan ditinggalkan.
Kesibukan mengejar fatamorgana dunia menjauhkan mereka daripada hakikat sebenar:
Bahawa silat bukan sekadar rentak gerak di gelanggang, tetapi madrasah jiwa, benteng maruah, dan warisan bangsa.
Ilmu silat seharusnya dipelajari dengan adat, adap, disiplin, dan rasa tanggungjawab.
Namun, bila puncak olahraga sudah didaki, sering kali minat untuk mendalami silibus perguruan makin pudar.
Jurulatih yang lahir daripada acuan sebegini tidak lain hanyalah melahirkan generasi murid dan jurulatih yang seangkatan dengannya.
ilmu silat perguruan harus diutamakan supaya warisan bangsa ini kekal berpaksikan adat, berakar pada adab, bersulam budaya Melayu, serta bertunjangkan taat berguru dan hormat menghormati.
Dalam masa yang sama, silat olahraga wajar diperkasakan, memenuhi tuntutan zaman, tanpa sekali-kali mengabaikan seni perguruan yang hakiki..
Hendak tidur,tidur lah mata
Usah di fikir hari mendatang
Tanpa Guru siapalah kita
Ibarat bulan tanpa bintang
“Silat bersendi adat,
Adat bersendi syarak,
Syarak bersendi Kalamullah.”
Wal ‘iyazubillah.
Jasmie Baba..