16/09/2026
REFLEKSI HARI MALAYSIA: IMBAUAN KEJAYAAN FESTIVAL CITRA SENI MERDEKA 2026
Puncak Alam, Selangor | 16 September 2026
(Tarikh Acara: 28 hingga 31 Ogos 2026)
Sempena sambutan Hari Malaysia hari ini, marilah kita bersama-sama mengimbau kembali detik penuh bersejarah sekitar Festival Citra Seni Merdeka 2026 yang telah berlangsung di Safa Food Hub Antarabangsa, Puncak Alam.
Naratif penutup Bulan Kebangsaan ini menjadi bukti hidup kekuatan sebuah penyatuan komuniti. Safa Food Hub Antarabangsa telah menjadi saksi kebangkitan seni komuniti terbesar di Puncak Alam yang berjaya menghimpunkan ramai penggiat seni, anak muda, belia, serta keluarga setempat menerusi pengisian yang mengangkat pelancongan, keunikan seni, budaya, warisan, sukan rakyat, dan industri kreatif harian.
Sepanjang festival berlangsung, pelbagai acara telah dijalankan oleh RUSPA termasuklah persembahan puisi, sajak, pantun, pameran seni visual, tayangan animasi tempatan, kejohanan catur, pertandingan Busana Merdeka, dan bermacam-macam lagi.
Semua ini tidak akan berjaya tanpa kesepaduan jiwa anak Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua rakan kolaborasi:
Safa Food Hub Antarabangsa
Bandar Puncak Alam Community
MPP 23 dan MyZon 23
Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
Tidak dilupakan, terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakan strategik, krew, sukarelawan, para peserta, dan seluruh warga Kuala Selangor yang hadir membanjiri tapak festival dan memberikan sokongan padu.
Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat yang berbilang kaum dan latar belakang kepercayaan. Kejayaan festival ini melambangkan manifestasi sebenar Seni Pembangunan Manusia. Membuktikan bahawa apabila seni digabungkan dengan kekuatan integriti dan sokongan erat komuniti, ia mampu menjadi sebuah instrumen sains sosial yang ampuh untuk menyatukan masyarakat majmuk serta memacu ekonomi mikro setempat dengan sasa dan saksama.
Dirgahayu Malaysiaku! Kesejahteraan Dinikmati!
Selamat berjumpa lagi!