17/05/2026
V**E: MAHKAMAH TINGGI SIFATKAN KEPUTUSAN 2023 TIDAK RASIONAL
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kerajaan bertindak secara tidak rasional dan tanpa rundingan mencukupi apabila cecair serta gel nikotin v**e dikeluarkan daripada Senarai Racun pada tahun 2023.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh tiga kumpulan masyarakat sivil iaitu Voice of Children, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Malaysian Green Lung Association.
Dalam penghakimannya, Hakim Datuk Aliza Sulaiman menyatakan pengecualian tersebut didorong sebahagian besarnya oleh pertimbangan ekonomi yang berkait dengan rancangan kerajaan mengenakan duti eksais terhadap produk v**e bernikotin.
Ini bukan sekadar isu teknikal undang-undang.
Ini isu besar kesihatan awam.
Pada ketika kerajaan sendiri mengetahui rokok elektronik dan cecair v**e berbahaya kepada kesihatan, keputusan tetap dibuat untuk mengeluarkan nikotin v**e daripada kawalan Senarai Racun. Kesannya, wujud satu lompong undang-undang sebelum Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 berkuat kuasa pada 1 Oktober 2024.
Selama hampir 17 bulan, v**e bernikotin berada dalam ruang yang terlalu longgar. Produk yang sepatutnya dikawal ketat boleh bergerak dalam pasaran, termasuk dalam kalangan anak muda dan kanak-kanak.
Lebih membimbangkan, mahkamah turut menyentuh bahawa rundingan dengan Lembaga Racun tidak mencukupi. Tiada pertemuan fizikal antara Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Zaliha Mustafa, dengan Lembaga Racun. Malah selepas Lembaga Racun menolak cadangan pengecualian tersebut, tiada perbincangan lanjut yang benar-benar bermakna.
Dalam bahasa mudah, proses itu kelihatan seperti formaliti.
Atau seperti disebut dalam penghakiman, hampir seperti “done deal”.
Hari ini, rakyat berhak bertanya.
Mengapa keputusan sebesar ini dibuat ketika risiko nikotin kepada generasi muda sudah lama diketahui?
Mengapa suara Lembaga Racun tidak diberi pertimbangan sewajarnya?
Mengapa kesihatan awam kelihatan kalah kepada rancangan kutipan cukai?
Ini bukan tentang anti-bisnes. Ini bukan tentang menghukum peniaga. Ini tentang melindungi anak-anak kita daripada industri nikotin yang bergerak jauh lebih pantas daripada kawalan undang-undang.
Bila dasar tersilap, yang menanggung akibat bukan pembuat keputusan.
Yang membayar harganya ialah generasi muda.
**e