06/07/2026
Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Mary Bansaron Raymond, Ambassador Cultural and Heritage, Malaysia Borneo Cultural And Heritage Association (MANTRA), atas pencapaian yang amat membanggakan dalam mengangkat keindahan budaya, busana dan warisan Malaysia Borneo.
Beliau telah berjaya meraih gelaran Naib Johan Ratu Gawai Kaamatan sempena Majlis Penutupan Gawai 2026 anjuran Pegawai Polis Sabah & Sarawak bersama Persatuan Anak Kesenian Etnik Sarawak (PAKES), serta Naib Johan Ratu Etnik dan Tatarias Terbaik sempena Majlis Makan Malam Ngiling Tikai anjuran Pertubuhan Raban Indu Borneo Seremban (PRAISE) Peringkat Negeri Sembilan Edisi Ke-2.
MANTRA turut merakamkan penghargaan kepada Saudara Raynold atas sentuhan tatarias yang telah menyerlahkan lagi keanggunan, keaslian dan keindahan penampilan Mary di pentas budaya tersebut.
Tahniah juga diucapkan kepada ahli MANTRA, Ella Apit, atas penganugerahan sebagai Ambassador PRAISE. Semoga pengiktirafan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak Malaysia Borneo untuk tampil yakin, berani dan bangga membawa identiti budaya ke pentas yang lebih luas.
Bagi MANTRA, budaya bukan sekadar busana, persembahan atau tatarias. Budaya ialah jati diri, maruah, warisan dan suara komuniti yang perlu terus dipelihara, diraikan dan dimartabatkan. Setiap pencapaian seperti ini membuktikan bahawa warisan Malaysia Borneo mempunyai nilai yang tinggi, indah dan wajar diketengahkan dalam pelbagai ruang masyarakat.
MANTRA turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur, agensi kerajaan, sektor swasta, NGO, persatuan komuniti, rakan budaya serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dalam usaha memperkukuh, mempromosi dan mengangkat martabat seni, budaya dan warisan Malaysia Borneo. Penghargaan juga diberikan kepada Born Neo Premium Cendol atas segala sokongan dan motivasi yang telah diberikan.
Semoga usaha murni ini terus menyatukan kita dalam semangat kebudayaan, persaudaraan dan kebanggaan terhadap akar warisan sendiri.
Nota: Mary mengenakan busana tradisi etnik Suang Lotud, iaitu Sukub Kopio dari Daerah Tuaran, Sabah.
Our Cultural and Heritage. Our Identity. Our Legacy.