29/01/2025
471 Hari Taufan Al-Aqsa dalam Bayangan Israk Mikraj: Sinar Kemenangan Umat Islam
Sebelum berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW menghadapi situasi yang menyedihkan bagi seorang manusia dan seorang rasul.
Sebagai seorang manusia, Nabi Muhammad SAW bersedih atas kematian isteri tercintanya, Khadijah, yang menjadi tempat baginda meluahkan perasaan dan berkongsi harapan.
Pada tahun yang sama, baginda SAW juga berdukacita atas kematian bapa saudaranya, Abu Talib, yang merupakan sumber perlindungan politik dan keselamatan daripada ancaman serta gangguan berbahaya Quraisy Musyrikin.
Sebagai seorang rasul p**a, sekatan dan halangan Quraisy Musyrikin terhadap dakwah semakin meningkat sejak kematian Abu Talib. Ramai dalam kalangan para sahabat teruji dengan begitu dahsyat hanya kerana keimanan mereka kepada Allah SWT. Oleh itu, baginda SAW cuba membuka ruang dakwah ke kawasan baharu, iaitu Taif. Namun, di sana, dakwah baginda ditolak, dan fizikal baginda SAW turut disakiti sehingga mengalir darah.
Setelah mengalami peristiwa-peristiwa sedih ini, Allah SWT mengurniakan hadiah kepada baginda dengan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai tanda kebersamaan-Nya dengan baginda Muhammad SAW serta sebagai pengharapan terhadap kemenangan Islam pada masa hadapan.
Dinukilkan daripada Syaikh Solah al-Khalidi:
"Surah ini (peristiwa Israk dan Mikraj) diturunkan kepada umat Islam yang tertindas di Mekah, yang diperangi oleh Quraisy Musyrikin. Allah akan memberikan mereka kekuasaan, umat Islam akan membuka negara-negara (menyebarkan dakwah), akan mengalahkan musuh-musuh dan bersolat di Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis yang diberkati, mengikuti sunnah Rasulullah SAW pada Israk dan Mikraj.
Sungguh, Israk baginda ke Masjid al-Aqsa merupakan isyarat daripada Allah bahawa akan berlaku pembukaan sebenar oleh umat Islam ke atas bumi ini."
Para sahabat memahami isyarat yang tersirat dalam peristiwa Israk Mikraj. Selepas peristiwa agung ini, mereka berjaya menamatkan fasa penyeksaan di Mekah selepas peristiwa Hijrah, membina kerajaan di Madinah, seterusnya menakluk Mekah, dan beberapa tahun kemudian, membuka Baitul Maqdis dengan kekuatan ketenteraan.
Dengan izin Allah, pada tahun 2025, peristiwa Israk Mikraj disambut dalam suasana kemenangan di G@za. Perlu diingat juga bahawa G@za yang dibedil selama 471 hari ini telah disekat selama 17 tahun sebelumnya. Segala hak asas mereka dinafikan, termasuk bantuan ketenteraan. Ini berbeza dengan rejim Zi@nis yang menerima segala bantuan ketenteraan daripada Amerika Syarikat, Eropah, dan negara-negara Arab.
Dalam keadaan ini, setelah 471 hari operasi ketenteraan di G@za, tiada siapa dalam rejim Zi@nis, sama ada pihak kerajaan, media domestik, mahupun media antarabangsa yang berani menyatakan bahawa Israel menang. Sebaliknya, pihak yang menang ialah para pejuang G@za. Hal ini kerana semua objektif yang diumumkan oleh rejim Zi@nis langsung tidak tercapai, kecuali kemusnahan besar dan jumlah kematian yang tinggi dalam kalangan penduduk awam.
Selain itu, setelah tercapainya gencatan senjata, pejuang G@za mengadakan majlis penyerahan tawanan warga Israel. Majlis ini sekali lagi menghancurkan psikologi pimpinan rejim Zi@nis dan sekutu-sekutunya. Ada penganalisis berpendapat bahawa kesan buruk kepada rejim Zi@nis akibat majlis ini setara dengan Operasi 7 Oktober 2023.
Hal ini kerana majlis ini memperlihatkan tentera pejuang dalam jumlah yang ramai, lengkap bersenjata, memakai uniform baharu, menggunakan kenderaan yang bersih serta senjata canggih, dan mampu mengawal keadaan di G@za sedangkan rejim Zi@nis telah menggunakan segala keupayaan ketenteraan mereka selama 15 bulan untuk melumpuhkan kekuatan pejuang G@za. Sekali lagi terbukti kegagalan rejim Zi@nis.
Sehubungan itu, tidak dinafikan bahawa rakyat Palestin mengalami kerugian harta dan nyawa sepanjang tempoh 15 bulan Taufan Al-Aqsa. Hampir dua juta menjadi pelarian akibat kehilangan tempat tinggal, sekitar 50,000 syahid, dan lebih 100,000 mengalami kecederaan. Namun, semua itu tidak melemahkan semangat mereka untuk terus berjuang dan berpihak kepada kebenaran. Buktinya, penduduk G@za sendiri mengangkat slogan perjuangan serta menunjukkan sokongan mereka terhadap para pejuang Palestin dan menyambut mereka dengan penuh kebanggaan serta penghormatan.
Tiada siapa yang menyangka bahawa pusingan peperangan kali ini mampu membebaskan Masjid al-Aqsa dan memerdekakan Palestin serta-merta. Jika kita kembali kepada sirah Rasulullah SAW, berapa banyak peperangan dan operasi ketenteraan yang baginda dan para sahabat lalui sehingga ada yang syahid sebelum akhirnya pembukaan Mekah tercapai? Begitu jugalah dengan usaha umat Islam untuk membebaskan Masjid al-Aqsa al-Mubarak.
Kemenangan umat Islam berlaku secara bertahap, namun jika Allah SWT menghendaki kemenangan mutlak dalam masa terdekat, maka semuanya berada dalam hikmah-Nya.
Megat Aiman Hakim bin Megat Shariffudin
Pegawai Penyelidik, Aqsa Syarif