13/01/2026
Sesi Libat Urus Bersama PERKESO: Memperkasa Kerjaya Golongan Neurodivergen
Semalam, kami telah menghadiri Sesi Libat Urus Pembangunan Garis Panduan Sokongan Pekerjaan bagi Golongan Neurodivergen yang berlangsung di Menara PERKESO, Putrajaya.
Garis panduan ini dirangka bagi menyokong penyampaian perkhidmatan pekerjaan yang lebih sistematik, inklusif dan berimpak kepada golongan neurodivergen di Malaysia.
Sesi libat urus ini turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Petronas, Shell, EY, TalentCorp, HRDC, serta institusi akademik seperti Universiti Malaya, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Yayasan Gamuda.
Inisiatif ini merangkumi pemerkasaan individu neurodivergen sebagai tenaga kerja, di samping membina kapasiti majikan dan warga kerja dalam mewujudkan persekitaran pekerjaan yang inklusif serta saling menyokong.
Secara dasarnya, garis panduan ini bertujuan meningkatkan penerimaan majikan terhadap neurodiversiti, mengurangkan stigma dalam proses pengambilan pekerja, dan menyediakan sokongan yang sesuai agar pekerja neurodivergen dapat mencapai potensi penuh mereka.
Neurodivergen merujuk kepada individu yang mempunyai kondisi perkembangan neurologi (neurodevelopmental conditions) seperti Autisme, ADHD, Disleksia dan kecelaruan pembelajaran spesifik yang lain.
Kump**an ini sering berhadapan dengan cabaran praktikal di tempat kerja, serta berisiko mengalami diskriminasi dan stigma akibat perbezaan dalam cara berfikir, berkomunikasi dan bertingkah laku.
Sebagai contoh, individu ADHD yang tidak menerima rawatan dan sokongan yang mencukupi sering disalahfaham di tempat kerja, khususnya berkaitan impulsiviti dalam komunikasi dan tingkah laku, atau kegagalan mematuhi tempoh masa tugasan.
Sebahagian individu juga s**ar mengekalkan pekerjaan dalam jangka masa panjang akibat rasa bosan terhadap tugasan rutin yang tidak mencabar. Keadaan ini merupakan manifestasi simptom ADHD yang berkait rapat dengan cabaran fungsi eksekutif dan regulasi emosi.
Walau bagaimanapun, apabila diletakkan dalam konteks yang sesuai dan disokong dengan pendekatan yang wajar, ciri-ciri ADHD berpotensi menjadi sumber kekuatan yang signifikan kepada organisasi.
Individu ADHD sering menunjukkan tahap kreativiti yang tinggi, keupayaan menjana idea bernas, serta kebolehan menyelesaikan masalah kompleks secara efisien.
Pengambilan pekerja neurodivergen bukan sekadar memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR), sebaliknya merupakan satu strategi perniagaan yang berdaya saing. Kepelbagaian kognitif (cognitive diversity) dalam pas**an terbukti dapat memacu inovasi, di mana perspektif unik golongan neurodivergen membantu organisasi melihat penyelesaian βdi luar kotakβ yang sering terlepas pandang.
Organisasi yang meraikan neurodiversiti juga mendapati tenaga kerja ini mempunyai tahap dedikasi yang tinggi serta bakat khusus yang menyumbang kepada daya saing dan kelestarian perniagaan.
Kami daripada Persatuan ADHD Dewasa Malaysia (MAAS) menyokong penuh usaha PERKESO dalam pembangunan garis panduan ini.
Kami berharap inisiatif ini dapat meningkatkan kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap komuniti OKU neurodivergen yang berdaya saing, serta mengiktiraf sumbangan mereka dalam pembangunan negara.
Zulhafiy Zolkipli
Presiden,
Persatuan ADHD Dewasa Malaysia