09/07/2025
๐๐ข๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐ ๐๐๐ ๐๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐๐ ๐๐๐๐
KOTA SAMARAHAN, 25 JUN 2025 โ Jabatan Sains Matematik, Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, dengan kerjasama Persatuan Guru Besar Malaysia (Cawangan Sarawak) dan Persatuan Sains dan Matematik UiTM Sarawak (PRISMATICS), telah berjaya menganjurkan Pertandingan Hero Matematik Piala Dato Sri Roland Sagah 2025, bertempat di Dewan Jubli, Kampus Samarahan.
Program ini mendapat tajaan utama daripada Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), serta sumbangan oleh Sarawak Energy, Yayasan Sarawak dan Bank Rakyat Cawangan Kota Samarahan. Pertandingan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif UiTM untuk memperkasa komuniti melalui pendidikan, sejajar dengan misi universiti dalam memperkukuh hubungan industri dan masyarakat.
Pertandingan yang diketuai oleh Puan Nor Hazizah Julaihi ini bertujuan menarik minat murid sekolah rendah di daerah Kuching, Samarahan dan Serian terhadap Matematik. Pertandingan ini dianjurkan secara dua peringkat iaitu Ujian Saringan secara dalam talian pada 26 April 2025 dan Pertandingan Akhir secara bersemuka pada 25 Jun 2025. Ujian saringan telah berjaya menarik penyertaan seramai 1448 murid dari 111 sekolah rendah. Daripada jumlah ini, seramai 258 murid dari 86 sekolah rendah telah mara ke pertandingan akhir.
Sempena pertandingan ini, turut berlangsung Karnival Mini STEM, anjuran PRISMATICS dengan kerjasama Jawatankuasa Induk Inisiatif STEM UiTM Sarawak, Lighthouse of Hope (Sarawak) dan SK Merdang. Karnival ini menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan pameran yang bertujuan meningkatkan kesedaran dan minat murid terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kehadiran lori VICO dari Maestro Swiss Trading turut memeriahkan suasana.
Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Annuar bin Rapaโee, Timbalan Menteri I (Pendidikan Tinggi dan Inovasi), yang mewakili Yang Berhormat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak. Turut hadir ialah Yang Berusaha Profesor Dr. Firdaus Abdullah, Rektor UiTM Cawangan Sarawak, serta barisan pengurusan tertinggi UiTM, wakil dari Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Persatuan Guru Besar Malaysia (Cawangan Sarawak), Sarawak Energy, Yayasan Sarawak, Bank Rakyat dan Lighthouse of Hope (Sarawak).
UiTM Cawangan Sarawak komited untuk menjadikan pertandingan ini sebagai program tahunan yang dapat menyumbang kepada peningkatan prestasi pelajar dalam Matematik serta merapatkan jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar. Usaha ini juga selari dengan agenda MEITD dalam memperkasa bakat masa depan dan menyokong aspirasi Sarawak menuju negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.