16/09/2026
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Malaysia Madani, Salam Perpaduan, dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT.
Saya selaku Pengerusi KRT Taman Raja Tun Uda, dengan rasa penuh syukur dan rendah hati ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Program Sambutan Hari Kemerdekaan dan Penubuhan Malaysia pada kali ini.
Terima kasih saya yang pertama kepada barisan AJK KRT.
Tuan-tuan dan Puan-puan adalah tulang belakang program ini. Siang malam bertungkus-lumus, bermesyuarat, mengutip dana, memasang bendera, mengurus pentas, menjemput tetamu. Tanpa komitmen dan semangat sukarela tuan-tuan dan puan-puan, program sebesar ini tidak mungkin menjadi kenyataan.
Sungguh benar kata pepatah, "Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing." Inilah semangat KRT kita.
Terima kasih saya yang kedua kepada seluruh penduduk Taman Raja Tun Uda.
Kepada ibu bapa yang membawa anak-anak, kepada belia yang membantu angkat kerusi dan khemah, kepada kakak-kakak yang menyediakan juadah, kepada pakcik-pakcik yang bersedekah tenaga dan idea. Kehadiran tuan-tuan puan-puan adalah bukti cinta kita kepada negara.
Apabila kita kibarkan Jalur Gemilang bersama-sama, apabila kita laungkan laungan Merdeka! sebanyak tujuh kali, di situlah lahirnya semangat bahawa taman ini bukan sekadar tempat tinggal, tetapi tanah tumpahnya darah kita, tanah yang kita cintai bersama.
Program ini membuktikan bahawa perpaduan bukan slogan di kaca TV. Perpaduan ada di sini. Di Taman Raja Tun Uda, kita hidup berbilang kaum, berlainan agama dan budaya, tetapi hati kita tetap satu - Hati Malaysia.
Saya mohon maaf andai ada kekurangan, terkurang layanan atau tersilap kata sepanjang program ini berlangsung. Yang baik datangnya dari Allah, yang kurang itu datangnya dari kelemahan saya sendiri.
Akhir kata, saya doakan semoga Allah SWT membalas segala jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan dengan kebaikan yang berlipat kali ganda. Semoga ukhuwah dan semangat kejiranan kita terus mekar dan semoga semangat patriotik ini terus menyala di dalam jiwa anak-anak kita.
Terima kasih warga Taman Raja Tun Uda! Anda semua HEBAT!
Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Hidup Malaysia! Hidup Perpaduan!
Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
IKHLAS DARIPADA,
PENGERUSI
KRT TAMAN RAJA TUN UDA
Sdr Wak Tukiran