05/10/2026
ANAK BUKAN SAHAJA DIDIDIK OLEH APA YANG KITA TEGUR. ANAK JUGA DIDIDIK OLEH APA YANG KITA GAGAL TEGUR.
Saya mengikuti dengan rasa sedih kes pemergian adik Irene Sofiya, 16 tahun. Akhir-akhir ini banyak kes melibatkan pelajar sekolah dan ia cukup membimbangkan.
Sebagai seorang ayah, pendidik dan orang yang sudah lebih 30 tahun berhadapan dengan anak-anak dan ibu bapa, peristiwa seperti ini membuatkan saya banyak berfikir.
Saya tidak mahu cepat menuding jari.
Kita belum mengetahui keseluruhan cerita. Motif dan keadaan sebenar masih dalam siasatan.
Dan saya juga tidak bersetuju jika setiap kali seorang anak melakukan kesalahan, kita terus menghukum ibu bapanya.
Kerana pembentukan tingkah laku seorang remaja sangat kompleks.
Ada pengaruh keluarga.
Ada rakan sebaya.
Ada persekitaran sekolah.
Ada media sosial.
Ada hubungan percintaan.
Ada tekanan emosi.
Ada pengalaman hidup.
Ada juga pilihan yang dibuat oleh individu itu sendiri.
Tetapi dalam masa yang sama, kita sebagai ibu bapa tetap perlu bermuhasabah.
Pendidikan anak bermula dari rumah dan pendidikan itu bukan sekadar apa yang kita ajarkan.
Kadang-kadang apa yang kita diamkan juga menjadi pendidikan.
Anak meninggikan suara, kita biarkan.
Anak menghina orang, kita anggap gurauan.
Anak bercakap kasar, kita kata, “Biasalah budak-budak.”
Anak terlalu mengawal pasangan, kita anggap itu tanda sayang.
Anak terlalu cemburu,kita fikir itu perkara biasa dalam percintaan remaja.
Anak mengamuk apabila kehendaknya tidak dipenuhi, kita akhirnya mengalah.
Anak melakukan kesalahan, kita berkali-kali menyelamatkannya daripada menanggung akibat.
Tanpa kita sedari, mungkin satu mesej sedang tertanam, 'Kalau tiada siapa menegur aku, mungkin apa yang aku buat ini tidak salah.'
Sebab itu saya selalu percaya, apa yang kita benarkan berulang kali akhirnya boleh dianggap normal oleh anak.
Kita terlalu banyak bertanya:
Berapa markah peperiksaan anak?
Dapat berapa A?
Masuk universiti mana?
Kerja apa nanti?
Tetapi mungkin kita juga perlu mula bertanya:
Bagaimana anak aku mengurus kemarahan?
Bagaimana dia menghadapi kekecewaan?
Bagaimana dia menerima perkataan TIDAK?Bagaimana dia menerima rejection?
Bagaimana dia mengawal rasa cemburu?
Adakah dia tahu menghormati boundaries orang lain?
Adakah dia mempunyai empathy?
Apabila hatinya terluka, adakah dia tahu kepada siapa dia boleh bercerita?
Apabila emosinya memuncak, adakah dia mempunyai kemahiran untuk berhenti sebelum bertindak?
Kerana anak kita mungkin mendapat A dalam peperiksaan tetapi kehidupan tidak hanya menguji mereka dengan soalan Matematik, Sains dan Sejarah.
Kehidupan akan menguji mereka dengan:
marah,
cemburu,
kecewa,
penolakan,
pengkhianatan,
kegagalan,
kehilangan dan ego.
Kalau mereka tidak pernah belajar bagaimana mengurus semua ini, mereka mungkin membuat satu keputusan dalam beberapa minit yang kesannya perlu ditanggung sepanjang hayat.
Sebab itu tugas kita bukan sekadar melahirkan anak yang pandai.
Kita mahu melahirkan anak yang mempunyai adab, empathy, self-control, emotional regulation dan rasa tanggungjawab terhadap tindakannya.
Dan apabila anak melakukan perkara yang salah, beranilah menegur.
Bukan kerana kita tidak sayang.
Tetapi kerana kita sayanglah kita tidak mahu perkara yang salah menjadi normal dalam hidup mereka.
Tragedi seperti ini jangan hanya membuatkan kita bertanya:
Apa salah budak itu?
Tetapi biarlah ia membuatkan setiap ibu dan ayah bertanya kepada diri sendiri:
Apakah yang sedang aku ajarkan kepada anakku dan apakah yang selama ini aku biarkan tanpa teguran?
Semoga Allah SWT merahmati adik Irene Sofiya dan memberikan kekuatan serta ketabahan kepada seluruh keluarganya menghadapi kehilangan yang amat berat ini.
Dan semoga tragedi ini menjadi wake-up call kepada kita semua.
Didik anak untuk berjaya.
Tetapi jangan lupa didik mereka bagaimana menjadi manusia.
Dr. Tengku Asmadi
Peak Performance Coach