22/05/2025
Melangkah maju era digital yang penuh cabaran!
Bengkel Pengucapan Awam: Bijak Bersuara dengan tema 'Petah Berfakta, Melangkau Persepsi' telah berlangsung pada Selasa, 20 Mei 2025 di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang.
Bengkel ini telah berjaya memperkasa lebih 80 pelajar dengan kemahiran komunikasi berkualiti dan meningkatkan keyakinan diri.
Bengkel anjuran IKATAN PERPADUAN dengan kerjasama Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang ini penting dalam memastikan nilai tambah pada setiap belia dapat dimanfaatkan kelak.
IKATAN PERPADUAN telah menampilkan tiga sosok penceramah berpengalaman iaitu Encik Karma Hakim Luk'man, Timbalan Pengurus Red Consultant Group (RCG); Tuan Nazru Haji Ismail, Hakim Tertinggi Majlis Debat Universiti Malaysia; dan Dr. Muhammad Hafiz Abd Razak, Pensyarah Kanan, Universiti Utara Malaysia.
Program yang penuh inspirasi ini telah ditutup secara rasmi oleh Dr. Mohd Ikhmal Bin Fadzil, Pegawai Khas Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang mewakili YB Dato' Dr. Mohamad bin Abdul Hamid, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.
Kita mahu anak-anak muda tidak sekadar menjadi pemerhati, tetapi pemain utama dalam arus pembangunan negeri dan negara. Jadilah jurubicara kepada kebenaran. Jadilah suara yang membina dan jadilah generasi yang mampu melangkau persepsi dengan kekuatan fakta dan integriti.
Syabas dan tahniah!