26/02/2026
Khidmat untuk semua.
PERBAHASAN RUU PERBEKALAN TAMBAHAN (2025) 2026 KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI & KOS SARA HIDUP 26/2/26 Khamis
1. Jam 3.15 Petang saya telah menyertai perbahasan RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sebanyak RM993,943,800(RM994 juta) untuk Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) selepas kenaikan purata harga RBD Palm Olein.
2. RBD bermaksud: Refined, Bleached, Deodorized
(Minyak yang telah ditapis, diluntur warna dan dinyahbau) kepada RM4,524per metrik tan, melebihi paras ambang yang ditetapkan iaitu pada RM2,300 per metrik tan. Kenaikan RM2,224.
3.Justeru, saya ingin bertanyakan beberapa persoalan bagi mendapatkan beberapa penjelasan yang tuntas berkenaan hal ini kerana ia melibatkan wang pembayar cukai dan periuk nasi rakyat.
Pertamanya,
Siapakah penerima sebenarnya kepada subsidi ini?
- Adakah pembayaran dibuat kepada pengimport, pengilang atau terus kepada peniaga kecil?
- Apakah langkah proaktif pihak Kementerian dalam memastikan subsidi ini sampai kepada pengguna dan bukan menjadi keuntungan tambahan (atas angin) kepada syarikat-syarikat besar?
-Adakah KPDN mempunyai sistem dashboard tanpa bergantung kepada laporan manual supaya dapat mengelak ketirisan minyak masak subsidi.
Kedua,
bagaimana RM993.94 juta ini dikira?
- Mohon penjelasan Kementerian berkenaan berapa anggaran kuantiti metrik tan yang disubsidi, kadar subsidi per metrik tan dan tempoh subsidi dengan harga yang dinyatakan.
- Sejauh manakah kesan peningkatan perbelanjaan ini kepada risiko peningkatan defisit dan hutang negara?
Ketiga,
Berapa lamakah tempoh bagi subsidi baru ini akan berlaku?
- Adakah ia hanya bersifat sementara sehingga harga turun kembali?
- Atau akan berlanjutan jika harga antarabangsa kekal tinggi?
Keempat,
apakah langkah yang dilaksanakan oleh Kerajaan untuk mencegah ketirisan dan penyalahgunaan barangan yang mendapat subsidi ini?
- Contohnya, bagaimana kita hendak elakkan subsidi disalur melalui saluran yang tidak sepatutnya atau disimpan sebagai margin oleh pengedar?
- Sejauh manakah koordinasi yang dilaksanakan oleh Kementerian bersama dengan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam memastikan akses dan pengagihan yang adil?
KELIMA
Apakah impak jangka panjang terhadap Belanjawan Negara?
Jika harga komoditi terus kekal tinggi, apakah anggaran beban berulang ke atas perbelanjaan mengurus Kerajaan?
- Sejauh manakah Kementerian menyediakan analisis terhadap sensitiviti untuk senario harga lebih tinggi pada masa hadapan?
- Memandangkan umum mengetahui, suasana geopolitik di peringkat antarabangsa kini semakin tegang dari hari ke hari.
KEENAM
Bagaimana usaha Kerajaan terhadap peniaga kecil?
- Adakah ada langkah khusus untuk memastikan kedai runcit kecil di bandar dan luar bandar mendapat bekalan pada harga yang munasabah?