Mereka merupakan pelajar di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Yayasan Pahang. Mereka ditempatkan di sebuah universiti yang baru dibuka iaitu Al al-Bayt. Ketika itu, keadaan para pelajar agak tertekan akibat suasana universiti yang membosankan dengan kekalutan sistem pentadbiran tahun pertama universiti. Rentetan daripada itu, semua pelajar tela
h membuat satu memorandum agar mereka dipindahkan. Empat orang wakil setiap tajaan menyampaikan memorandum ke Malaysia. Mereka ialah Suhaimi Sudin (KPM), Mahmood Kassim (KPM), Fakhrunnizam Ishak (JPA) dan Zulkarnain Ahmad (Yayasan Pahang). Pada 19 Disember 1994 Dato Amar Sulaiman Daud, Menteri Pendidikan pada ketika itu merupakan wakil kerajaan Malaysia yang dihantar bagi meninjau sendiri keadaan sebenar Al al-Bayt yang akhirnya membawa keputusan yang mengecewakan. Akhirnya pelajar terpaksa akur untuk meneruskan pembelajaran di Al al-Bayt. Setelah Persatuan Mahasiswa Malaysia Jordan (PMMJ) terkubur, pelajar memikirkan perlu untuk mereka bersatu di bawah satu kesatuan. Lalu terbitlah idea untuk menubuhkan persatuan universiti bagi menjaga kebajikan mereka khususnya di Mafraq. Satu jawatankuasa Penaja Persatuan dibentuk dan pada 23 Februari 1995 pilihanraya pertama diadakan untuk memilih barisan kepimpinan. Pada 25 Februari 1995 keputusan pilihanraya diumumkan dan tercatatlah sejarah Persatuan Mahasiswa Malaysia Al alBayt (PRISMA) yang ditubuhkan secara rasmi. PRISMA adalah ringkasan daripada Persatuan Mahasiswa Malaysia Al alBayt dan dalam bahasa Inggerisnya ialah Malaysian Al alBayt Student Association (MASA). Ia telah ditubuhkan pada hari Sabtu, 25 Februari 1995M bersamaan 25 Ramadhan 1415H. Saudara Wan Rumaizi Wan Ismail dari takhasus Bahasa dan Kesusasteraaan telah memenangi kerusi Presiden yang dipertandingkan pada ketika itu. Beliau telah memegang tampuk kepimpinan selama dua tahun sebelum beralih kepada presiden berikutnya pada tahun 1997. PRISMA ditubuhkan untuk memelihara hal ehwal kebajikan penuntut Malaysia di Universiti Al al-Bayt Jordan di samping memelihara hal ehwal akademik mereka. PRISMA juga menjadi agen penyatuan pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sini dan menjadi wasilah antara mereka dan persatuan-persatuan lain yang ada di bumi Jordan. Pada waktu ini PRISMA ditadbir oleh enam orang siswa dan lima orang siswi sebagai Ahli Majlis Tertinggi yang diketuai oleh Presiden dan mereka dipilih melalui pilihanraya yang diadakan setiap tahun. Persatuan ini dinaungi oleh Kedutaan Besar Malaysia ke Jordan, dengan Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) sebagai penasihat kehormatnya. PRISMA adalah persatuan mahasiswa yang pertama ditubuhkan dan terus kekal dalam usaha mencapai objektif penubuhannya sehinggalah ke hari ini.